MENGIDAM untuk memiliki cahaya mata lelaki pada tahun hadapan, pelakon Fasha Sandha merancang untuk menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).
Menurut Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 39, keputusan tersebut dibuat bersama suaminya, pelakon Aidil Aziz kerana mahu mendapatkan anak lelaki.
“Memang kami merancang begitulah kerana mahu terus pilih jantina. Namun, belum tahun lagi kerana itu semua kerja Allah kami hanya merancang,” ujar Fasha.
Tambah Fasha, dia bakal berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan informasi dan nasihat berhubung rawatan IVF sekitar tahun hadapan.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku sebab belum berjumpa dengan doktor lagi. Selepas selesai penggambaran drama Malang Si Puteri pada Februari tahun depan barulah saya akan berjumpa doktor.
“Saya akan pastikan semua komitmen lakonan selesai barulah saya boleh fokus untuk menambah anak,” ujar Fasha yang ditemui pada majlis kesyukuran Fasha bersama suami dan adiknya, Elisya Sandha semalam.
Demi mendapatkan cahaya mata lelaki, Fasha bersedia untuk memperlahankan kerjaya lakonan buat sementara waktu, bahkan keputusan tersebut mendapat sokongann suaminya.
“Jika buat IVF memang perlu perlahankan kerjaya lakonan kerana berlakon agak memenatkan terutama pada trimester pertama lagi perlu berjaga-jaga.
“Kami memang inginkan anak lagi, itu adalah salah satu impian untuk tahun 2024, tetapi semuanya atas kuasa Allah,” kata Aidil.
Malahan, Fasha juga memberitahu anak bongsunya, Aisha Amaira, 3, bersedia untuk menjadi kakak kerana amat sukakan bayi.
“Aisha pun sudah bersedia untuk ada adik, dia sangat sukakan ‘baby’,” dedah Fasha.
Dalam pada itu, Fasha bersyukur pada usia 39 tahun dia masih diberi kepercayaan untuk membawakan watak heroin dalam drama berbanding pelakon lain yang seangkatan dengannya.
“Saya bersyukur masih dihujani tawaran lakonan sehingga hari ini. Rahsianya adalah disiplin dan komitmen, itu yang akan membawa seorang pelakon pergi lebih jauh,” ujar Fasha.
Fasha dan Aidil berkahwin pada Mac 2019 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aisha Amaira.
Terdahulu, Fasha pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai dan dianugerahkan dua cahaya matai aitu Putra Rayfal, 9, dan Putri Raysha Jemaima, 8. – HIBGLAM