JURI tetap Datuk Syafinaz Selamat menegur penyanyi Jaclyn Victor agar menyuntik lebih versatiliti dalam persembahan sekiranya diberi peluang melangkah ke pentas final All Star Gegar Vaganza (GV10) minggu depan.
Menurut Syafinaz, kehebatan vokal Jaclyn menyanyikan lagu Mistikus Cinta dan Taman Rashidah Utama sememangnya tidak perlu dipertikai tetapi harus memberi kelainan.
“Lagu yang sangat sukar, dari aspek vokal selalunya awak takde masalah tetapi hari ini ada bahagian nyanyian yang perlukan sokongan.
“Bukan buruk tetapi masih bagus lagi. Secara keseluruhan, untuk mencapai kepada final mungkin ada harapan,” komennya.
Katanya, Jaclyn perlu membawa kelainan dan kejutan serta baginya persembahan bukan sekadar tentang nyanyian semata-mata.
“Pertandingan bukan hanya sekadar nyanyian. Suntik lebih banyak (kelainan), jadi saya ucap selamat berjaya
“Jika ke final, jangan bagi makanan asas yang sedap sahaja tetapi berilah sesuatu yang lebih enak,” ujarnya. – HIBGLAM