TIADA angin tiada ribut, pelakon Daler Yusuf mengejutkan peminat apabila berkongsi khabar gembira kehamilan isterinya, Sakinah Burikul sekali gus mengumumkan mereka bakal menimang cahaya mata ketiga tahun hadapan.
Ujar pemilik nama penuh Daler Yusuf Khamrokulov Muhammad itu, kandungan suri hatinya itu sudah mencecah trimester kedua iaitu memasuki bulan kelima.
“Alhamdulillah, betul, isteri saya ketika ini sedang hamil lima bulan. Kami menanti kelahiran anak ketiga dan isteri saya dijangka melahirkan bayi kamk tahun hadapan.
“Jantina bayi pun sudah tahu, saya dapat bayi lelaki,” ujarnya kepada HibGlam.
Disangka masih bujang kerana tidak pernah berkongsikan apa-apa tentang isteri dan anak-anak dalam media sosial, aktor Uzbekistan itu menjelaskan mereka sebenarnya sudah sedekad mendirikan rumah tangga.
“Saya sudah berkahwin sejak 10 tahun yang lalu di Uzbekistan. Ketika itu saya sedang belajar dan belum masuk industri hiburan lagi.
“Saya memang tidak kongsi berkenaan kehidupan personal saya di media sosial. Jadi, memang ramai yang tidak tahu,” katanya.
Sementara itu, lelaki putih gebu berusia 31 tahun itu mendedahkan tidak mengumumkan mengenai perkahwinan kerana status hubungan mereka sebelum itu dalam keadaan tidak stabil dan sering bergaduh sehingga tidak duduk sebumbung.
“Kami dulu banyak gaduh, duduk asing dalam dua ke tiga tahun. Kemudian bila semuanya okey dan berlaku perbincangan panjang, kami tinggal bersama semula, biasalah lagikan lidah boleh tergigit, inikan pula suami isteri.
“Alhamdulillah, semasa Covid-19, kami tersekat di Malaysia dan kami berbaik sehingga sekarang. Sekarang kami lebih memahami antara satu sama lain,” ujarnya menutup bicara.
Hasil perkahwinan Daler dan Sakinah, mereka dikurniakan dua cahaya mata yang sekarang berusia sembilan dan tujuh tahun.
Bagaimanapun, Yusuf enggan memberikan maklumat terperinci berkenaan anak-anaknya. – HIBGLAM.