TIDAK berkecil hati diasak soalan berhubung zuriat, pengacara juga pelakon popular, Izzue Islam berharap semua pihak berhenti mencipta dan menyebarkan cerita tidak benar kononnya dia dan isteri kini sudah mempunyai anak angkat.
Pemilik nama penuh Muhammad Izzul Islam Mazlan itu berkata, dia terkejut apabila menerima ucapan tahniah gara-gara sebuah akaun dalam aplikasi TikTok yang menggunakan nama isterinya, Awin Nurin memuat naik video pengumuman mereka mengambil seorang bayi sebagai anak angkat.
“Apabila dapat ucapan tahniah secara tiba-tiba, kami berdua pun pelik sebab tiada pula saya menang anugerah apa-apa.
“Rupa-rupanya ada video tular konon kami sudah ambil anak angkat sedangkan itu adalah anak saudara saya. Tak baik buat dan sebarkan fitnah macam itu apatah lagi guna isu yang sensitif.
“Kami berdua tidaklah berkecil hati. Sudah biasa ditanya soal zuriat. Tetapi tak perlu sebar fitnah semata-mata mahukan pengikut atau jumlah tontonan tinggi. Tak pasal-pasal kami kena hadap,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ditanya keadaan emosi isterinya apabila tidak habis-habis berdepan isu anak, pelakon filem Mat Tudung Begin itu bersyukur kerana cinta hatinya tidak terganggu selain menyerahkan soal zuriat kepada Maha Esa.
“Dia okey sahaja. Mungkin kami sendiri sudah menyerahkan soal zuriat 100 peratus kepada Tuhan. Jadi apa pun perancangan-Nya, kami yakin itu yang terbaik. Kita tidak boleh mempersoal takdir.
“Kami bersangka baik dengan Tuhan. Semoga ada rezeki yang diberikan. Tetapi untuk yang terus sebar fitnah, hentikanlah. Tak baik. Mungkin kami tidak terganggu, bagaimana pula dengan keluarga lain?
“Jangan jadikan media sosial sebagai platform untuk sebar cerita tidak benar. Curi video orang lain dan buat akaun palsu demi ‘populariti ciptaan’. Tak seronok begitu,” ujarnya panjang lebar
Izzue bernikah dengan Awin yang juga merupakan pengurusnya pada Jun 2013, namun belum dikurniakan cahaya mata. – HIBGLAM