Bolot 10 trofi, filem Abang Adik jaguh antarabangsa

MELAKAR sejarah tersendiri dengan lebih 10 pengiktirafan padahal belum pun ditayangkan buat tatapan umum, filem arahan Lay Jin Ong, Abang Adik cemerlang di Taiwan apabila memungut RM6.5 juta dalam tempoh 10 hari tayangan.

Kolaborasi produksi yang dikatakan sebagai naskhah terlaris dari Malaysia disifatkan pemerhati dunia hiburan mempunyai jiwa serta kehalusan penterjemahan kehidupan dua anak yatim tanpa pertalian darah, namun menganggap diri mereka sebagai adik-beradik.

Sarat air mata bersulamkan tawa yang menggambarkan suka duka melalui kehidupan serba sukar berikutan tiada kad pengenalan diri, kisah watak abang dan adik itu mempunyai sejarah buat sutradaranya.

Gandingan Malaysia, Taiwan

Jin Ong berkata, filem pertama arahannya itu pada peringkat awal mengangkat kisah anak yatim dengan kad pengenalan merah (IC), namun menukar penceritaan kepada tiada IC disebabkan masalah sama turut didepani segelintir individu yang dilahirkan di negara ini.

“Ketika ‘pitching’ saya kemukakan isu IC merah, namun apabila dimaklumkan masalah ketiadaan kad pengenalan berpunca daripada pelbagai faktor membuatkan saya menukar kisah kerana situasi itu lebih kronik.

“Apabila kami duduk semula, terus rombak plot penceritaan, namun latar tempat iaitu sekitar pasar Pudu yang tersimpan 1,001 rahsia kehidupan insan tetap diketengahkan sebagai cebisan realiti.

“Tema kasih sayang, pengorbanan serta erti kemanusiaan digarap sepenuh jiwa supaya dapat sampai kepada khalayak,” katanya selepas tayangan gala Abang Adik, baru-baru ini.

Katanya, kesungguhan dua tunjang utama termasuk aktor terkenal Taiwan, Wu Kang Ren penggalas watak Abang yang turut hadir pada majlis tersebut bersama gandingannya, Jack Tan (Adik) menghidupkan lagi alur cerita penuh syahdu itu.

“Ketika perbincangan dengan  Pengarah Eksekutif, Sinje Lee dan Alex C.Lo bersama Penerbit, Nicole Teoh serta Trini Lam, memang kami letakkan nama Kang Ren sebagai hero biarpun tidak tahu sama ada dia sedia menyahut tawaran.

“Namun, semuanya berjalan lancar sebaik kami bersemuka dengannya kerana Malaysia bukan asing kepada aktor ini selepas beberapa kali menjalani penggambaran di negara ini.

“Bahkan Kang Ren teruja diamanahkan watak lelaki bisu yang dibelenggu emosi selain berusaha mempelajari bahasa isyarat beberapa bulan sebelum penggambaran bermula.

“Malah, dia juga sanggup menghitamkan kulitnya di tengah terik matahari Kuala Lumpur sehingga kulit melecur, menurunkan berat badan selain belajar menyembelih dan memotong ayam di pasar demi watak Abang,” katanya lagi.

Sarat air mata

Pada masa sama, keserasian antara Kang Ren dengan Tan juga disifatkan umpama pertalian semula jadi walaupun mereka digandingkan buat pertama kali dalam naskhah terbabit.

“Penghayatan mereka mencetuskan aura luar biasa sehingga ada babak tertentu membuatkan seluruh produksi menitiskan air mata kerana terlalu ‘hidup’ lakonan ditunjukkan.

“Dalam satu adegan saya sengaja membiarkan mereka berbual lanjut tanpa memintas momen tersebut agar dapat merakam setiap butiran yang menyentuh hati,” katanya.

Tidak hairan bulan lalu bintang berusia 41 tahun itu dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Golden Horse Ke-60 untuk peranannya sebagai lelaki bisu dalam filem itu.

Malah, filem terbabit turut menjadi jaguh di luar negara terutama di festival antarabangsa termasuk mencipta sejarah sebagai filem Asia Tenggara pertama memenangi kategori utama Far East Film Festival (FEFF) ke-25 termasuk Golden Memory Audience Awards, The Black Dragon Critics Prize dan White Mulbery Awards yang berlangsung di Udine, Itali.

Bukan hanya diiktiraf di FEFF, Abang Adik turut membawa pulang trofi  New York Asian Film Festival 2023 (edisi ke-22) dan First Official Selection 2023 di China.

Menemui penonton di 82 pawagam seluruh negara pada 14 Disember lalu, pengarah asal Taiping, Perak itu berharap dapat menyampaikan mesej kepada seluruh penonton termasuk khalayak luar negara.

Abang Adik yang menggunakan tiga bahasa iaitu Mandarin, Kantonis dan bahasa Melayu diterbitkan More Entertainment Sdn. Bhd. dan New Century Southward Development Co. Ltd. dan diedar mm2 Entertainment.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok