“ABANG maafkan saya”.
Demikian luahan pengacara berpengalaman Datuk Aznil Nawawi yang berasa ralat tidak dapat mengumpulkan lebih banyak dana buat Allahyarham Ibnor Riza.
Katanya, dia sudah berusaha sehabis baik mencari sumber kewangan bagi menampung kos rawatan penyakit kanser limfoma dihidapi rakan seperjuangannya itu.
“Maafkan saya hanya mampu berusaha membantu setakat itu dulu. Saya terkilan tidak dapat usaha lebih kumpul dana untuk abang.
“Abang, Allah tamatkan kesakitan abang. Sekarang abang rehatlah ya,” katanya menerusi perkongsian video dalam Instagram.
Dalam hantaran tersebut, selebriti berusia 62 tahun itu turut berkongsi pelukan pertama dan terakhirnya dengan Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pukul 3.30 petang semalam.
Penyanyi lagu Meneka Dalam Kesamaran itu meninggal dunia di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) selepas lebih dua minggu tidak sedarkan diri usai pembedahan mengeluarkan cecair di kepalanya.
Berita pemergian Allahyarham membuatkan ramai sahabat serta rakan seperjuangan sebak, apatah lagi selepas disahkan menghidap kanser pada Mac lalu, Ibnor tetap optimis melawan penyakitnya.
Malah, arwah ketika akhir hayatnya tetap gigih bekerja bagi menampung kos rawatan serta kimoterapi yang dianggarkan mencecah RM200,000 biarpun terpaksa menjual tiga kereta selain mengeluarkan semua wang simpanan.
Atas semangat tersebut, pada Oktober lalu Aznil menyatakan terpanggil membuka tabung bagi meringankan beban rakannya itu menjalani rawatan kimoterapi yang masih berbaki.
Dua minggu kemudian, selebriti yang sebelum ini pernah membuka tabung sama untuk penyanyi Zamani telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Ibnor.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kasau, Tengkek, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan pukul 10.20 malam tadi.
Allahyarham meninggalkan dua balu iaitu Norhayati Mohd Nor dan Sarimah Sulaiman serta dua cahaya mata. – HIBGLAM