KALAU jodoh tidak ke mana. Demikian frasa tepat untuk menggambarkan bahagia deretan selebriti tanah air yang bersatu atas ikatan suci suami isteri pada 2023.
Dalam ramai yang menemukan titik bahagia, pernikahan selebriti otai, Sabri Yunus dan Angeline Tan paling menarik perhatian. Bertahun merisik rasa, persahabatan puluhan tahun pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu berakhir di jenjang pelamin.
Setumbuk bagai gelang, sejodoh bagai cincin, selebriti yang turut mencuri tumpuan termasuk Janna Nick dan Dini Schatzmann yang mengikat tali pernikahan pada 10 Jun 2023 sejak mula mengenal hati budi pada 27 Mac 2019.
Syamsul Yusof & Ira Kazar
Pada 6 Januari 2023, pengarah popular, Syamsul Yusof mengejutkan orang ramai apabila akhirnya mengaku sudah berkahwin dengan Ira Kazar di Thailand berwalikan bapa Ira yang juga pelakon veteran, Kazar Saisi.
Ungku Ismail & Nad Zainal
Tiada angin tiada ribut, pelakon Nad Zainal dan Ungku Ismail mengejutkan orang ramai apabila dilaporkan sah menjadi pasangan suami isteri pada 23 Januari 2023. Merpati dua sejoli itu difahamkan mula rapat berlakon sama dalam drama Cina Buta.
Rashidi Ishak & Wan Hasliza
Rashidi Ishak mula rapat dengan Wan Hasliza selepas membintangi drama arahan wanita itu berjudul Kampung People 2.
Mereka berkahwin pada 3 Februari 2023 ketika masing-masing menjangkau lingkungan 50-an.
Tom & Fuad Rahman
Cinta lama bertaut kembali selepas berpisah sekitar 2011, Tom dan Fuad Rahman akhirnya sah bergelar suami isteri apabila bernikah di Batam, Indonesia pada tahun ini.
Aiman Tino & Che Syarah Haifa
Aiman Tino sah menjadi suami kepada wanita pilihannya iaitu Che Syarah Haifa Che Isa dengan sekali lafaz pada 27 April 2023 pada usianya mencecah 24 tahun.
Esma Daniel & Nur Atira Mazlan
Lima tahun menduda, aktor Esma Daniel akhirnya selamat bernikah dengan wanita pilihannya, Nur Atira Mazlan pada 20 Mei 2023. Jarak umur mereka adalah 23 tahun, Esma berusia 54 tahun, manakala isterinya berusia 31 tahun dan itu merupakan perkahwinan ketiga buat pelakon senior itu.
Hafeez Mikail & Azira Azman
Pada 6 Mei 2023, pelakon Hafeez Mikail sah bergelar suami kepada Noor Azira Azman dengan sekali lafaz. Aktor berbakat besar yang berusia 31 tahun itu menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300.
Mizz Nina & Essam Muhammad
Menyimpan kemas perihal peribadi, penyanyi Mizz Nina mengejutkan industri hiburan tanah apabila mengumumkan sudah berkahwin dengan penyanyi dari Amerika Syarikat, Essam Muhammad pada suku kedua tahun 2023 dalam majlis tertutup yang hanya dihadiri keluarga dan teman rapat.
Sabri Yunus & Angeline Tan
Tiga tahun merancang untuk mendirikan rumah tangga selain menunggu kesediaan Angeline untuk memeluk Islam, akhirnya hati aktres itu berjaya ditawan pelakon dan pengarah tersohor, Sabri Yunus.
Mereka selamat mendirikan rumah tangga dan sah bergelar suami isteri pada 16 Oktober lalu.
MK K-Clique & Siti Hajaar
Teka-teki percintaan penyanyi popular MK K-Clique dan Siti Hajaar terjawab apabila mereka sah bergelar suami isteri pada 16 Jun lalu sekali gus mematahkan hati peminat perempuannya.
Cat Farish & Shikin Maembong
Percaya saling melengkapi, Cat Farish dengan sekali lafaz sah bergelar suami kepada Shikin Maembong pada 14 Julai lalu dengan mas kahwin RM200. Pihak pengantin perempuan menghantar lima dulang hantaran berbalas tiga dulang daripada pihak pengantin lelaki.
Shuib & Watie
Shuib & Watie Selepas pemergian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Shuib membina hidup baharu dengan menjadi suami kepada Watie pada 23 Jun lalu. Shuib menyerahkan mas kahwin bernilai RM8,288 serta lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang.
Fadlan Hazim & Aiya Mukhamedsalova
Pelakon Fadlan Hazim menawan hati wanita pilihannya yang berasal dari Kazakhstan, Aiya Mukhamedsalova apabila sah menjadi suami isteri pada 15 Julai lalu.
Ubai & Shila Amzah
Menamatkan status jandanya, penyanyi Shila Amzah selamat bergelar isteri kepada pempengaruh media sosial, Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli atau Ubai pada 5 ogos lalu. Shila menerima mas kahwin sebanyak RM20,000, manakala jumlah hantaran dirahsiakan.
Intan Najuwa & Ahmad Asraf
Intan Najuwa selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Ahmad Asraf Azman pada 18 Ogos lalu.
Intan menerima mas kahwin bernilai RM20,000 selain hantaran bernilai RM222,000. Angka dua menjadi pilihan sebagai lambang tempoh dua tahun perkenalan mereka berdua.
Noh Hujan & Fatin Athira
Empat bulan menjalin pertunangan, vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh akhirnya selamat mendirikan rumah tangga bersama Athira Mustapa yang juga seorang peguam pada 23 September lalu.
Janna Nick & Dini Schatzmann
JANNA Nick dan suaminya Dini Schatzmann berkahwin dalam satu acara gilang-gemilang di Pulau Langkawi pada Jun 2023 dan perkahwinan mereka hanya dihadiri kenalan terdekat sahaja.
Nabila Razali & Nik Iruwan
Bukan lagi gimik untuk melariskan lagu baharu, Nabila Razali sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Nik Iruwan Nik Izani dengan sekali lafaz pada 18 November.
Hafidz Roshdi & Athira Yuhada
KONTROVERSI tidak menghalang Hafidz Roshdi untuk sah bergelar suami kepada pilihan hatinya Athira Yuhada pada 16 Disember lalu dengan sekali lafaz. Kata bekas suami Shuhada itu, Athira adalah cinta pertamanya.