TAHUN 2023 menyaksikan lambakan ‘drama’ turun naik mahkamah bagi kes perceraian beberapa pasangan selebriti popular tanah air. Ada yang memandang mahkamah sebagai ‘rumah kedua’ beberapa pasangan sensasi yang terlibat.
Ada rumah tangga yang menemui titik noktah, namun terdapat juga hubungan pasangan selebriti kembali bertaut sebelum memulakan kehidupan baharu masing-masing.
Mahligai Puteri Sarah, Syamsul Yusof musnah
KONFLIK rumah tangga pasangan selebriti Puteri Sarah dan Syamsul Yusof paling mencuri perhatian netizen dengan rentetan drama yang meleret-leret selama hampir setahun lagi gara-gara kehadiran orang ketiga.
Selepas turun naik mahkamah selama enam bulan, kemelut rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul akhirnya bernoktah apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 14 Jun 2023.
Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, melafazkan cerai talak satu pada pukul 12.25 tengah hari di hadapan Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas, selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Tidak kesal dengan perpisahan yang berlaku, Puteri Sarah bagaimanapun bersyukur apabila perceraiannya dengan bekas suami berakhir dengan baik.
Menurut ibu kepada dua orang cahaya mata itu, kata sepakat untuk bercerai dilakukan demi masa depan dua anak mereka, Syaikhul dan Sumayyah.
Bagi Syamsul pula, dia pada awalnya enggan melepaskan bekas isterinya itu kerana menyifatkan masih ada sinar untuk memperbaiki hubungan perkahwinan mereka, selain mengakui masih sayangkannya.
Bahkan, Syamsul pernah membuat kejutan apabila tidak jadi untuk menceraikan Puteri Sarah dalam satu prosiding lafaz cerai yang diadakan pada 18 April 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Pendamai (JKP) memaklumkan ikatan perkahwinan pasangan itu tidak dapat diselamatkan kerana berlaku shiqaq iaitu perbalahan berpanjangan.
Puteri Sarah memfailkan tuntutan cerai terhadap bekas suaminya pada Januari 2023 di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur selepas krisis rumah tangganya sejak empat tahun lalu.
Selain itu, dia juga enggan dimadukan selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah buat kali kedua dengan Ira Kazar.
Farid, Diana ‘paling dramatik’
PERCERAIAN selebriti paling penuh kejutan menjadi milik pasangan Farid dan Diana.
Selepas drama naik turun mahkamah berlarutan begitu lama, pasangan tersebut berkongsi berita gembira apabila mereka sudah rujuk semula sebagai suami isteri selepas sebulan bercerai. Diana nekad berpisah sebelum Farid melafazkan cerai talak satu secara dalam talian pada 10 Ogos lalu atas alasan shiqaq (gaduh berpanjangan). Mereka kini kembali hidup bahagia sebagai suami isteri.
‘Pergelutan’ Hafidz Roshdi, Shuhada
KEMELUT perkahwinan Hafidz bermula sekitar Februari lalu apabila Shuhada mendedahkan suaminya bermain kayu dengan seorang wanita.
Hafidz kemudiannya didakwa menceraikan Shuhada menerusi panggilan telefon dengan talak satu bersaksikan keluarga.
Drama berterusan renteran Shuhada didakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga yang akhirnya bernoktah apabila Hafidz berkahwin dengan kekasih ‘lamanya’ itu baru-baru ini.
Hafidz mendedahkan dan Athira Yuhada sudah lama bercinta sejak 15 tahun lalu ketika di bangku persekolahan lagi.
Perceraian selebriti sepanjang 2023:
Alicia Amin & Farzan Iqbal
(14b Februari 2021 – 1 Mac 2023)
Alicia Amin bercerai dengan Dr. Farzan Iqbal disebabkan tiada persefahaman.
Afiq Muiz & Pachara
(27 Mac 2019 – 18 Julai 2023)
Afiq Muiz dan Nur Aaira Mahadeya, 32, atau Pachara berakhir selepas pelakon itu menceraikan isterinya dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Ampang.
Nd Lala, Fuziah Sarman
(1989 – 2 Ogos 2023)
Selepas 34 tahun mendirikan rumah tangga, perkahwinan penyanyi Datuk ND Lala akhirnya terlerai selepas melafazkan talak terhadap isterinya, Fauziah Sarman pada 2 Ogos 2023.
Noor Nabila & Engku Emran
(19 Mac 2021 – 25 September 2023)
‘Masjid’ dibina kakak kepada selebriti terkenal Neelofa, Noor Nabila dengan Engku Emran akhirnya runtuh selepas mereka bercerai talak satu pada 25 September 2023.
Fyna Jebat & Zainal Abidin
(Rahsia – Mei 2023)
Pernikahan rahsia Fyna Jebat dengan bekas jurulatih bola sepak, Datuk Zainal Abidin terlerai sekitar Mei 2023 selepas berkahwin tanpa pengetahuan umum.
Aziz M. Osman, Puteri Lily
(4 April 2008 – Julai 2023)
Perkahwinan kali kedua selama 15 tahun yang dibina oleh pengarah terkenal, Aziz M. Osman bersama isterinya, Puteri Lily Lokman turut berakhir dengan perceraian pada sekitar Julai 2023.
Mawar Rashid & Raf Yaakob
(9 November 2017 – November 2023)
Selepas drama ‘pakai buka’ tudung isteri, Raf Yaakob mengakui bercerai dengan Mawar Rashid pada November lalu.