KOMPOSER dan penyanyi, Amylea Azizan mengakui mempunyai alasan kukuh merahsiakan tarikh pernikahan dengan pegawai bomba dari Singapura, Mohammad Aqbar Mohamad Ash.
Katanya, perkara itu perlu dilakukan bagi memenuhi hasrat keluarga yang meminta mereka kekal menyimpan hal peribadi termasuk tarikh perkahwinan demi menjaga hati beberapa pihak.
Begitupun, Amylea mendedahkan hari dia dan Mohammad Aqbar atau Ash, 40, disatukan tidak jauh dengan tarikh pengumuman pernikahan yang dihebahkan kepada media pada 27 November lalu.
“Secara jujurnya, saya dan Ash memang melalui perkenalan cukup singkat pada tahun ini dan sangat bersyukur sebab saya dapat kisah percintaan yang ramai orang inginkan.
“Kisah itu adalah apabila kita berjumpa, kita kenal, keluarga bersetuju seterusnya kita bercinta selepas kahwin. Sebenarnya habmnya selepas saya setuju terima lamarannya, barulah kami bersemuka.
“Mungkin ini berkat doa ibu, cuma saya tidak mendedahkan tarikh nikah sebab perlu memenuhi permintaan keluarga kami,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM38), semalam.
Amylea yang mempertaruhkan lagu Selagi Ku Ada nyanyian Khai Bahar dan Nabila Razali menyatakan percintaan dilaluinya mereka juga sama seperti dijalani ibu dan arwah bapanya.
“Hakikatnya kami bercinta selepas kahwin macam orang dulu-dulu dan saya tahu ada dalam kalangan kawan-kawan saya yang impikan cara perkenalan begini.
“Saya mengenali Ash daripada seorang sahabat melalui media sosial tetapi bukan akaun yang sekarang ini, nama lain. Dia mesej nak kenal selain tak tahu kerjaya saya.
“Sebab saya kenal dengan dia bukan untuk bercinta, adakalanya apabila dia hubungi, saya tidak angkat telefon, namun akhirnya jodoh menyatukan kami,” ujarnya.
Turut menghasilkan lagu buat suami berjudul Panji Putih Untuk Pangeran, penyanyi berusia 37 tahun itu memaklumkan mereka saling mengenali peribadi masing-masing dengan lebih mendalam.
Pada 27 November lalu Amylea mengundang kejutan apabila mengumumkan sudah bergelar isteri namun tidak berkongsi tarikh sebenar pernikahan dengan anggota bomba terbabit. – HIBGLAM