TAK pernah pula saya tolak bergambar dengan peminat.”
Demikian respons pelakon Ben Amir sekali gus menafikan dakwaan sombong hingga sanggup tarik muka masam apabila diajak bergambar dengan peminat.
Menurut pemilik nama penuh Muhammad Amir Sabaruddin itu, tiada sebab untuknya bertindak sedemikian kecuali berada dalam situasi kecemasan atau perlu bergegas ke lokasi penggambaran.
“Setahu saya, tidak pernah pula saya lakukan begitu (tolak ajakan bergambar). Setiap orang mempunyai pandangan mereka masing-masing, tapi siapa yang kenal sayatahu saya bagaimana.
Kalau ada sesiapa di sini yang ingin ambil gambar dengan saya, okay sahaja. Tapi kalau saya berada dalam situasi kecemasan atau perlu cepat ke lokasi lain, itu lain cerita.
“Itu pun saya akan tolak secara baik. Jadi, tiada istilah sombong atau enggan bergambar,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya mengenai kelantangannya meluah pendapat dalam platform X, pelakon drama Sweet Dreams itu mengakui selesa melontarkan buah fikirannya di situ berbanding medium lain.
“Saya rasa semua orang mempunyai sisi kehidupan yang berbeza. Kalau dalam Instagram, saya lebih banyak muat naik kandungan mengenai kerja.
Tapi dalam X, itu tempat saya meluahkan perasaan. Luahan itu saya tidak tujukan kepada sesiapa memandangkan saya suka cakap benda yang ‘random’.
“Kadang-kadang benda itu berlaku tahun lepas, barulah saya terfikir nak ciap. Cuma, siapa makan cili dia terasa pedasnya,” kata Ben ketika ditemui di majlis pelantikan sebagai duta baju Melayu, Eastana Exclusive, baru-baru ini.
Sebelum ini, ada segelintir individu mendakwa Ben Amir semakin sombong dan mengelak sekiranya diajak berbual serta bergambar di beberapa acara.
Malah, sikap ramah yang dipaparkan di media sosial dikatakan tidak sama dengan pembawakan dirinya di luar. – HIBGLAM