PELAKON Meerqeen mengakui tidak selesa apabila dilabel ‘playboy’ hanya kerana sering digosipkan dengan rakan gandingannya.
Terkini dia dikatakan bercinta dengan adik selebriti terkemuka, Neelofa iaitu Ameera Khan biarpun pernah menjelaskan mereka hanyalah kenalan industri.
“Tidak mungkin setiap kali digandingkan dalam sesi fotografi atau memenuhi undangan majlis terus cop kami ada hubungan istimewa.
Saya tahu batas dalam pergaulan dan menghormati nilai persahabatan saya dengan anak seni lain.
“Saya jadi serba salah apabila timbul gosip seperti ini,” katanya ketika ditemui di acara Upfront Viu 2024 baru-baru ini.
Meerqeen atau nama sebenarnya, Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam menegaskan dia hanya mahu menumpukan perhatian terhadap karier tanpa perlu melibatkan isu peribadi.
Saya tidak suka mencampur-adukkan urusan peribadi dengan kerjaya.
“Fokus saya sekarang adalah mahu mengukuhkan karier kerana banyak lagi yang belum saya capai sebagai pelakon,” ujarnya.
Kontroversi percintaan Meerqeen bersama Ameera tercetus selepas menghadiri sebuah acara anjuran jenama mewah di Paris, Perancis.
Lebih menguatkan spekulasi itu apabila mereka dilihat keluar bersiar-siar dan makan besama sekitar kota Paris. -HIBGLAM