KEHIDUPAN berubah sepenuhnya selepas bergelar ibu, pelakon Syifa Melvin mengakui bukan mudah untuk menjaga seorang anak terutama pada awal kelahiran.
Masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu, pemilik nama penuh Nur Syifa Atirah Amirul Melvin itu pernah menangis akibat terlalu tertekan.
“Selepas dua bulan menjadi ibu, perubahan hidup yang drastik ya, mula-mula memang terasa sangat kekok dan tertekan.
“Saya sendiri menitiskan air mata beberapa kali, badan penat, tidur tak payah cakap, memang tidak teratur,” katanya menerusi satu hantaran dalam Instagram.
Begitupun, isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Safawi Rasid itu memberitahu kehidupannya kini kembali ceria selepas berjaya mengadaptasi keadaan, sekali gus mengawal perubahan tersebut.
Malah, pensohor media sosial berusia 28 tahun itu juga sempat menitipkan doa kepada wanita lain yang sudah sekian lama menantikan cahaya mata agar turut merasai nikmat menjadi seorang ibu pada suatu hari nanti.
“Lama-kelamaan bila sudah dapat rentak, jadi seronok pula bergelar ibu bapa. Bila tengok anak pun timbul perasaan bahagia itu.
“Saya doakan kepada semua golongan isteri yang masih menanti (zuriat), penantian itu bakal berakhir tak lama lagi, jangan berhenti berusaha dan berdoa.
“Rahim kalian akan dihuni oleh malaikat kecil yang akan membawa 1001 kebahagiaan buat golongan ibu semua, Aamin,” katanya.
Syifa dan Safawi mendirikan rumah tangga pada 28 November tahun lalu dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor.
Hasil perkahwinan, pasangan sama cantik sama padan itu dikurniakan cahaya mata sulung iaitu Saif Sulaiman pada 30 September lalu. – HIBGLAM.