Sendu, tiada tawaran? Ini jawapan Wafariena

DIDAKWA ‘sendu’  berikutan lama tidak muncul di televisyen, pelakon Wafariena menegaskan bukan tiada tawaran, sebaliknya kebanyakan drama dibintangi belum disiarkan.

Malah katanya, terlalu banyak tawaran yang diterima sehingga tidak sempat bercuti panjang demi memenuhi tuntutan penggambaran.

Tiada ‘job’? Tidak benar sama sekali sebab sepanjang lima tahun dalam bidang ini saya terima pelbagai tawaran lakonan hingga tiada masa untuk bercuti.

“Kalau nak tahu saya cuma dapat cuti panjang ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain cuti sakit selama dua bulan akibat kecederaan ketika penggambaran sebuah drama tahun lalu.

“Selebihnya saya ada di set penggambaran. Sebenarnya bukan tiada tawaran berlakon, tetapi kebanyakan drama yang saya buat belum disiarkan lagi,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya sama ada selektif memilih naskhah, aktres berusia 28 tahun itu berkata dia terbuka menerima semua tawaran kecuali adegan lasak.

Tiada istilah memilih, tapi kalau ditawarkan berlakon filem atau drama aksi yang memerlukan saya melakukan lagak ngeri sendiri, saya kena elak berikutan masalah pada bahagian peranakan kesan kejadian terdahulu.

“Alhamdulillah, sekarang semuanya sudah beransur pulih. Saya pun tidak mengalami sebarang kesan teruk tetapi kena elak melakukan aksi lasak.

“Kalau genre lain, saya okey sahaja sebab memang suka berlakon,” katanya.

Terdahulu, Wafariena pernah cedera di bahagian tisu punggung dan luka di perut ketika melakonkan adegan aksi sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.

Sehubungan itu, ibu kepada pelakon itu, Suzana Hamad, 59, memberi tempoh seminggu kepada pihak produksi untuk berbincang bagi menyelesaikan segala permasalahan berlaku sebelum membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang. — HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok