MESKI ada masalah radang pada tekak, penyanyi Aliff Aziz enggan melihat itu sebagai punca penyingkirannya pada minggu suku akhir All Stars Gegar Vaganza (GV10) semalam.
Jejaka berusia 32 tahun itu sebaliknya beranggapan penyingkirannya adalah disebabkan gagal memberikan yang terbaik.
Sebenarnya sudah dua minggu saya bergantung dengan antibiotik dan steroid untuk kurangkan keradangan pada bahagian tekak.
“Doktor sahkan saya mengalami rhinosinusitis iaitu lendir yang beri kesan kepada peti suara sehingga cetuskan keradangan.
“Kemudian doktor beri ubat steroid yang kesan sampingannya ialah membuatkan tekak rasa kering, batuk dan sebagainya,” katanya kepada HibGlam, semalam.
Berkongsi lanjut, keadaan kesihatannya bertambah teruk dalam tempoh dua minggu ini sehingga menjejaskan kualiti vokalnya.
Saya sudah berjumpa dengan pakar perubatan tiga minggu lalu tetapi keadaan semakin buruk dan minggu ini paling teruk.
“Saya jelaskan hal ini sebab tak mahu orang lain cakap saya guna alasan sakit untuk penyingkiran ini,” ujar juara Gegar Vaganza musim kelapan itu.
Ditanya sama ada kecewa dirinya gagal melangkah ke separuh akhir GV10, penyanyi lagu Sayang-Sayang itu reda dengan keputusan tersebut.
“Saya terima keputusan ini dengan hati terbuka dan tidak akan sesekali menggunakan alasan isu kesihatan punca persembahan kurang memuaskan.
“Tidak ada peserta yang nak buat silap dalam persembahan mereka pun, setiap orang mempunyai sasaran untuk ke pentas final begitu juga saya.
“Apapun, saya percaya penyingkiran ini ada hikmah dan sentiasa yakin dengan rezeki Allah SWT,” katanya.
Tambahnya lagi, dia juga akan berehat seketika selepas berjuang selama 10 minggu di pentas GV10.
“Selepas ini akan habiskan masa dengan keluarga dan bertemu dengan ibu bapa saya yang baru pulang dari menunaikan ibadah umrah.
“Berada sehingga ke suku akhir pun sudah cukup bagus sebab pentas GV10 adalah pertandingan yang paling besar pernah saya sertai,” tuturnya.
Semalam, perjuangan Aliff di pentas GV10 terhenti apabila diumumkan tersingkir pada konsert suku akhir yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam.
Pada acara tersebut, dia meraih markah terendah iaitu sebanyak 55.75 peratus daripada barisan juri tetap selepas mendendangkan lagu Cindai dan Gambus Jodoh.
Penyingkiran Aliff sekali gus menyaksikan sembilan peserta iaitu Naqiu, Hady Mirza, Jaclyn Victor, Siti Nordiana, Nikki Palikat, Tomok, Azharina dan Liza Hanim berjaya mara ke peringkat separuh akhir GV10 minggu depan.
Juara GV10 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro dan konsert akhir pula akan berlangsung buat julung kalinya di Axiata Arena Bukit Jalil pada 10 Disember depan. – HIBGLAM