PENYANYI Ernie Zakri menyifatkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang pernah dikutinya ketika zaman remaja membentuk dirinya menjadi insan lebih kuat mental dan emosi.
Jelas pemilik nama penuh Nur Ernie Shahirah Zakri itu, pelaksanaan PLKN tidak wajar dipandang negatif kerana banyak ilmu yang bakal ditimba peserta sepanjang tiga bulan program berlangsung.
“Sejujurnya, saya adalah selembik-lembik manusia yang tidak suka berjemur di tengah panas, berkawad dan bangun pagi untuk bersenam.
“Semua itu sangat sukar buat saya yang tidak gemar dan terbiasa dengan aktiviti sedemikian.
“Namun, tidak dinafikan banyak kenangan manis diperolehi sepanjang latihan. Saya berpendapat adik-adik berusia 16 tahun dan ke atas wajar ikuti program ini,” katanya kepada HibGlam.
Paling utama kata penyanyi berusia 31 tahun itu, PLKN mendedahkan peserta dengan ilmu survival dan kemahiran berdepan cabaran dalam kehidupan.
Mengulas lanjut mengenai kenangan manis yang tidak boleh dilupakan sewaktu menyertai PLKN, pelantun lagu Korban yang ditempatkan di Kem Behrang, Perak mengakui sempat menjalin hubungan cinta monyet.
“Masa PLKN, saya sempat jumpa ‘boyfriend’ di situ. Tetapi jodoh tak panjang, habis PLKN kami putus.
“Di sana macam-macam aktiviti kita lakukan seperti memanah dan menembak. Tetapi, tidaklah sampai mencederakan. Mereka kawal kita dengan rapi dan dijaga baik. Jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan.
“Saya percaya peserta yang akan terpilih mengikuti PLKN 3.0 nanti akan berasa gembira selepas mengikuti program berkenaan,” katanya.
Terdahulu, tular dalam media sosial apabila ada pihak membuat ciapan dengan mendakwa peserta yang akan dipilih menyertai PLKN untuk fasa baharu terdiri daripada mereka berusia 16 hingga 35 tahun.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) menjelaskan hanya remaja yang lahir pada 2007 akan dipanggil menjalani PLKN 3.0 apabila ia dilaksanakan pada tahun hadapan.
Mindef turut berharap penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN 3.0. – HIBGLAM