PENYANYI dan komposer, Adzrin Adzhar terkilan apabila segelintir netizen yang dipercayai peminat tegar Aina Abdul memperlekehkannya dengan mendakwa dia meniru artis kesayangan mereka.
Katanya, tindakan tidak profesional yang dilakukan atas dasar emosi itu menunjukkan tahap taksub sesetengah individu sehingga tergamak melaga-lagakan penggiat seni.
“Sebagai guru vokal, saya terima kritikan untuk menambah baik ilmu, cuma saya ralat dengan cara peminat fanatik terbabit memberikan komen yang terlalu naif dan tidak profesional.
“Sangat biadab. Dia seru nama kawan-kawan agar berkomplot meninggalkan komen berbaur menghina, bukannya membina,” katanya kepada HibGlam.
Kongsi Adzrin, ‘serangan’ bermula apabila dia memuat naik video lagu Terus Hidup nyanyian Aina yang mengungguli trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun lalu.
“Saya terima tawaran TikTok Malaysia usai AJL 2022 dan setelah beberapa hari video tersebut dikongsikan di YouTube, saya perasan komen beberapa peminat fanatik Aina,” katanya.
Penyanyi lagu Pujaan Malaya itu berkata, sebagai anak seni yang sudah lama bertapak dalam industri hiburan tanah air, dia terkejut apabila individu tanpa ilmu dalam muzik bersikap biadab.
“Saya rasa sesiapa pun bersetuju dengan pendapat ini. Adab lebih utama daripada ilmu. Jika seseorang itu tahu menjaga tatasusila, automatik apa jua pandangannya akan dihormati,” tegasnya.
Malah, Adzrin yang pernah merakamkan album solo pada 2002 mendakwa individu terbabit cuba merendah-rendahkan kredibilitinya termasuk membuat perbandingan penca pengkritik terbabit cuba merendahkan kredibilitinya termasuk membuat perbandingan antara pencapaiannya dengan Aina.
“Dia pesan, saya jangan perasan sebab lambat lagi nak setaraf dengan Aina. Mereka turut tegur, nyanyian saya langsung tak sama dengan Aina.
“Memanglah tak sama. Saya Adzrin Adzhar, bukan Aina Abdul. Saya menyanyi bukan sebab nak jadi macam dia. Jangan cuba laga-lagakan artis,” luahnya.
Menurut Adzrin hubungannya dengan Aina juga tiada masalah malah mereka pernah beberapa kali bekerjasama dalam beberapa acara.
Katanya, ketika menjuarai program realiti Suara Viral 2.0, Aina antara jurinya, sekali gus mereka saling memberikan komitmen selama beberapa bulan sepanjang pertandingan berlangsung.
“Saya ingat lagi komen Aina selaku juri, dia meminati saya dan kumpulan saya, The Aantu yang ketika itu tampil sebagai peserta.
“Tentu sahaja kami bangga dan terharu, apatah lagi dibandingkan taraf The Aantu yang masih terlalu kerdil,” katanya yang pernah menjadi juri Bintang Kecil RTM bersama penyanyi lagu Sumpah itu. – HIBGLAM