PENGACARA Nadia Annuar trauma selepas menjadi mangsa samun dua lelaki bermotosikal ketika dia berhenti di lampu isyarat berhampiran Jalan Imbi di sini, malam tadi.
Nadia atau nama lengkapnya Nadia Shahrul Annuar 39, ketika dihubungi HibGlam berkata, dua penyamun itu bertindak memecahkan tingkap cermin tempat duduk bahagian hadapan penumpang, dan melarikan beg tangan yang diletakkan di atas tempat duduk.
Kejadian berlaku kira-kira pada pukul 8.15 malam tadi ketika saya memandu kereta dan berhenti di lampu isyarat berdekatan Jalan Imbi, berdekatan dengan Times Square.
“Pada awalnya saya sangkakan kereta saya dilanggar, sebelum tingkap sebelah tempat duduk penumpang hadapan dipecahkan dua lelaki bermotosikal dan melarikan beg tangan saya. Kejadian berlaku cukup pantas,” katanya.
Ujar bekas pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) itu lagi, kerana terkejut, dia tidak sempat untuk melihat nombor pendaftaran motosikal tersebut dan hanya mampu membunyikan hon selepas kejadian itu berlaku.
Ketika itu, ramai pengguna jalan raya lain ada di situ kerana waktu masih lagi belum lewat malam. Tapi kerana masing-masing agaknya terkejut, jadi penjenayah itu berjaya meloloskan diri.
“Selepas kejadian, saya berhenti di tepi jalan dan segera menghubungi pihak bank untuk menyekat semua kad bank, sebelum membuat laporan polis di balai berdekatan,” jelasnya.
Ketika ditanya tentang anggaran kerugian yang ditanggung, Nadia berkata, dalam beg miliknya itu tidak mempunyai jumlah wang tunai yang banyak iaitu sekitar RM50 hingga RM150 sahaja, namun dompet yang dilarikan bernilai sekitar RM3,000.
“Wang tunai tak banyak. Cuma ada kad pengenalan dan kad bank. Anggaran kerugian paling mahal mungkin dompet yang berharga RM3,000,” ujarnya.
Bagaimanapun, Nadia tetap bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius selain hanya calar-calar kecil disebabkan terkena serpihan kaca cermin tingkap yang dipecahkan.
Syukur alhamdulillah saya tidak mengalami kecederaan serius. Cuma calar-calar kecil sahaja. Nasib baik kaca tidak terkena pada mata,” katanya.
Nadia dimaklumkan pihak polis, berkemungkinan penjenayah tersebut telah lama mengekorinya sebelum menunggu peluang menyamunnya di lampu isyarat.
“Mungkin penyamun itu sudah lama mengekori saya. Bila tiba di lampu isyarat, mereka dengan pantas memecahkan cermin tingkap menggunakan ‘spark plug’ yang ditemui di dalam kereta,” katanya.
Mengakui masih trauma atas apa yang berlaku, Nadia menasihati pengguna kereta supaya lebih peka dan berhati-hati supaya tidak meletakkan barangan di tempat duduk penumpang kerana boleh berisiko mengundang kejadian samun.
Selalunya saya baca kejadian seperti ini berlaku ke atas individu lain. Tetapi kali ini terjadi pada diri sendiri.
“Nasihat saya selepas ini, berhati-hatinya ketika memandu dan sentiasa peka. Penjenayah sekarang tidak mengira tempat dan lokasi. Di tempat yang sesak dan ramai orang pun masih berlaku kejadian samun,” katanya. – HIBGLAM