PENGHIBUR terkenal, Datuk Jamal Abdillah melakar kenangan manis buat seorang peminat warga emas, Rohani Abdullah apabila memberi tiket percuma menyaksikan Jamal Abdillah Live in Concert, malam tadi.
Pengalaman bertembung secara kebetulan dengan wanita berusia 69 tahun bersama cucunya di Kawasan Rehat Dan Rawat Temerloh, Pahang dikongsikan Jamal dalam konsert yang berlangsung di Dewan Planery, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Penyanyi lagu Ghazal Untuk Rabiah itu turun dari pentas untuk memperkenalkan Rohani kepada 1,500 penonton sambil menceritakan detik pertemuan mereka dan pujukan meminta wanita terbabit hadir ke konsert tersebut.
Telatah lucu wanita yang menemani cucunya ‘turun’ dari Terengganu kerana bimbangkan keselamatan insan kesayangan yang membeli satu tiket sahaja menyaksikan persembahan mega artis kesayangannya turut mencuit hati khalayak.
Selain mendedikasi lagu Tidurlah Wahai Permaisuri untuk tetamu kenamaan yang mencemar duli, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Jamal turut mendedikasikan dendangan Kasihnya Ibu buat Rohani.
Dalam persembahan berdurasi lebih dua jam itu, penyanyi berkenaan menyampaikan lebih 20 seleksi popular yang dibahagikan kepada beberapa segmen termasuk balada, santai, ghazal dan medley.
Menerusi segmen duet, Wany Hasrita diundang untuk berkolaborasi menerusi lagu Kehebatan Cinta dan Canggung, manakala rapper, Mr Faroq menemaninya di pentas menyampaikan Aku Maafkan Kamu.
Seperti diimpikan, Jamal, 64, turut bergandingan dengan dua anaknya, Osama Yamani serta Zaki Yamani mendendangkan Gadis Melayu dan Penghibur.
Melihat sambutan khalayak, penyanyi yang lebih empat dekad memperjuangkan bakat di arena seni itu sememangnya mempunyai aura tersendiri.
Malah, Jamal, 64, juga tidak menghampakan penonton apabila membawakan beberapa lagi seleksi hits yang tiada dalam senarai sebagai bonus untuk peminat. – HIBGLAM