KONSERT Milenia yang dijadualkan berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, pada 25 November ini sekali lagi terpaksa ditunda demi menjaga sensitiviti susulan konflik berdarah di Gaza.
Pengarah Urusan Mission Sight Sdn. Bhd, Jeffri Yaacob berkata, syarikat terbabit memenuhi permintaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan memutuskan menunda persembahan mega itu buat kali ketiga ke tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.
“Selaku penganjur kami menghormati permintaan PBT selain setuju konsert dangdut tidak sesuai berlangsung ketika dunia sedang berduka berikutan kekejaman zionis terhadap saudara kita di Palestin.
“Kami akur dengan saranan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang memohon agar acara mega membabitkan artis Indonesia dan Malaysia ini ditangguhkan dahulu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Jeffri, pihaknya juga sedia memulangkan duit pembelian tiket yang sudah membuat tempahan awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
“Mission Sight Sdn. Bhd. akan memulangkan wang kepada semua peminat yang telah membeli tiket dari ticket2u.com dengan kadar segera.
“Kami enggan penangguhan ini membuatkan orang ramai salah sangka dan melemparkan tuduhan negatif seperti scammer atau sebagainya.
“Acara ini telah tertunda sebanyak tiga kali atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan,” ujarnya.
Pada hantaran sama Jeffri menzahirkan rasa terkilan apabila merasakan seolah-olah dianaktirikan apabila konsert lain diterima sesetengah pihak berbanding konsert dangdut.
“Bukan mempersoalkan, jauh sekali tidak berpuas hati kerana saya tahu konsert ini tetap akan terlaksana, cuma kehadiran artis Barat, Bollywood, Korea, Tamil disambut dengan terbuka berbanding dangdut sehingga sukar untuk dianjurkan.
“Tidak dapat dinafikan ada segelintir pihak melihat muzik dangdut secara negatif tetapi perspektif kami pula berbeza kerana dangdut antara genre tradisi negara sejak dahulu.
“Disebabkan keunikan irama yang turut menyatukan negara serantau, pihak kami teruja ingin merealisasikan Konsert Milenia 2023,” katanya.
Menurutnya lagi, pihaknya juga telah mendapat kelulusan pelbagai agensi kerajaan serta lain-lain pihak termasuk Tourism Malaysia dalam usaha mempromosikan Malaysia menerusi persembahan mega itu.
“Persepsi gelek dan lucah pula hanya tanggapan apabila masih ada individu melihat irama ini negatif sedangkan selaku penganjur kami sudah mengikut garis panduan ditetapkan,” katanya.
Terdahulu, persembahan mega itu yang menggunakan nama Konsert Goyang Asia Koplo Milenia, namun ditukar ke Konsert Milenia bagi mengubah persepsi negatif terhadap muzik dangdut yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 12 Ogos.
Namun berikutan isu ditipu orang tengah, penganjur menetapkan 30 September sebagai tarikh baharu selain diadakan di lokasi lebih besar.
Begitupun, tarikh tersebut hampir bertembung dengan sambutan Maulidur Rasul yang membuatkan sekali lagi penganjur menganjakkan ke tarikh baharu iaitu 25 November ini.
Jika direalisasikan, acara ini bakal menyatukan penyanyi popular Malaysia dan Indonesia iaitu Amelina, Ani Mayuni, Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek Klepek dan Rheyna Morena. – HIBGLAM