DIDAKWA sudah berbadan dua, aktres jelita Uqasha Senrose, 31, dilihat mengambil pendekatan untuk tidak menafikan atau mengiyakan perkara itu.
Pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu hanya meminta orang ramai menitipkan doa yang baik-baik buat dirinya.
“Sebenarnya soalan ini paling banyak saya dapat dan malas nak jawab. Betulkah saya hamil?
“Doa dan minta yang baik-baik sahaja. Kita semua nak zuriat,” katanya menjawab soalan yang diterima daripada netizen dalam Instagram semalam.
Dia yang popular menerusi drama Perempuan Tanpa Dosa itu juga memberitahu, akan memaklumkan kepada semua pihak sekiranya Tuhan mengurniakan zuriat satu hari nanti.
“Nanti sampai masanya ada dan Allah beri, kita tak beritahu pun orang akan nampak.
“Tak perlu tanya banyak kalilah ya,” ujarnya lagi.
Semalam, HibGlam melaporkan isteri kepada pelakon Kamal Adli itu dikatakan hamil apabila ada yang ternampak bentuk baby bump dalam beberapa video siaran langsung TikTok baru-baru ini.
Meskipun ramai bertanya, dia tidak memberikan sebarang reaksi dan hanya membiarkan netizen terus berteka-teki.
Sebelum ini, dia mendedahkan pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali iaitu ketika menunaikan umrah pada awal 2022 dan sekitar November pada tahun sama.
Untuk rekod, Uqasha mendirikan rumah tangga dengan Kamal, 37, atau nama sebenarnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli pada 5 November 2021 di Bentong, Pahang. – HIBGLAM