PENGACARA, pelawak terkenal, Nabil Ahmad membuat laporan di Balai Polis Damansara susulan gambarnya digunakan pihak tidak bertanggungjawab sebagai bahan promosi satu skim pelaburan palsu.
Dakwa Nabil, tindakan tersebut memberi kesan terhadap kariernya sebagai pekerja seni, sekali gus dibimbangi boleh mengakibatkan ada orang terpedaya.
“Saya tak tahu sudah berapa kali saya kongsi pasal benda ini. Imej wajah saya telah digunakan untuk ajak orang ramai buat pelaburan. Ini adalah satu bentuk ‘scam’ yang sedang berlaku.
“Jadi saya telah buat laporan polis kerana telah menjejaskan kerjaya dan nama baik saya,” katanya menerusi hantaran video dalam Instagram.
Pada perkongsian sama, Nabil, 40, turut menunjukkan paparan artikel bersama foto dalam laman scammer yang dimaksudkan, selain salinan laporan polis.
Hos All Stars Gegar Vaganza (GV10) itu juga meminta orang ramai berwaspada terhadap penipuan terbuka seperti yang berlaku terhadapnya.
Menurut Nabil lagi, susulan penyebaran bahan tersebut, ada dalam kalangan individu terdekat turut mendapatkan pengesahan mengenai kaitannya dengan skim palsu itu.
“Kepada anda semua yang nampak tolong berhati-hati, ada juga rakan-rakan yang bertanya kepada saya tentang ini dan saya sudah maklumkan itu semua palsu,” ujarnya.
Pada masa sama, akuinya sudah beberapa kali identiti serta fotonya disalahguna pihak lain atas tujuan memperdayakan orang ramai yang mendorongnya untuk bertegas.
Bagi mengekang perbuatan seumpama itu daripada terus berleluasa, Nabil yang juga pengarah dan penerbit bakal mengajukan laporan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk membersihkan namanya.
“Saya akan ke SKMM untuk tindakan selanjutnya,” katanya. -HIBGLAM