Didakwa terlibat dengan kes dadah, penyanyi G-Dragon secara sukarela menawarkan diri untuk disiasat di bawah Unit Siasatan Jenayah Narkotik Agensi Polis Incheon.
Dalam satu kenyataan peguam bela G-Dragon menjelaskan bahawa anak guamnya akan hadir ke balai polis pada 6 November ini untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan siasatan dilakukan dengan cepat dan adil.
Terdahulu, Unit Siasatan Narkotik Polis Incheon memohon waran geledah bagi rekod komunikasi G-Dragon yang disyaki melakukan kesalahan dadah berdasarkan undang-undang kawalan dadah.
Bagaimanapun, Mahkamah Daerah Incheon menolak waran itu kerana bukti tidak mencukupi.
Enggan membiarkan perkara itu menjadi lebih teruk dan berpanjangan, G-Dragon secara sukarela memberi kerjasama untuk disiasat.