PENYANYI Haqiem Rusli menolak dakwaan menggunakan kaedah suntikan bagi mendapatkan kulit wajah yang putih bersih seperti diperkatakan sesetengah pihak.
Kata pemilik nama penuh Ridzuan Haqiem Rusli, 25, itu, dia hanya mengikuti saranan isteri yang menggalakkan pengambilan vitamin C serta amalan minum air putih secara rutin.
“Demi Allah saya tak buat suntikan. Mana ada bersih, ini pun masih ada jerawat lagi.
“Tak cucuk-cucuk pun. Itu semua fitnah, saya cuma ambil vitamin C selain amalkan air putih atas saranan isteri,” katanya kepada HibGlam selepas konsert minggu keenam Famili Duo tiga (FD3), malam tadi.
Pada pertandingan realiti siaran TV3 itu, Haqiem berpasangan dengan sepupunya, Ariff Bahran bersaing dengan lima lagi pasangan duo lain bagi merebut RM100,000 untuk ganjaran utama, selain hadiah mingguan sebanyak RM10,000.
Menurut penyanyi Tergantung Sepi itu, teman hidupnya, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, 21, banyak mengajarnya mengenai penjagaan diri dan kesihatan serta kesihatan sejak mereka mendirikan rumah tangga dua tahun lalu.
“Isteri yang banyak ingatkan. Cuma buat dua rutin ini saja,” ujarnya.
Sebelum ini Haqiem mengakuinya, Anis serta isteri Ariff, Amirah Syazwani Mohd. Ridzuan antara tulang belakang di sebalik setiap idea persembahan dalam FD3.
Sementara itu, mengulas mengenai persembahan bertemakan Retro 60-an dan 70-an yang gagal memenangi hati juri, Haqiem mengakui kesilapannya.
Dedah penyanyi berusia 25 tahun itu, kesalahan tersebut adalah disebabkan khilafnya akibat tidak cukup tidur berikutan sibuk melayan permainan dalam talian.
“Ini silap saya sendiri yang tidur lambat buatkan sukar fokus sehingga meraih kritikan juri. Saya tak belajar dari pengalaman lalu.
“Selepas ini saya akan beringat selain pastikan minggu depan yang juga peringkat separuh akhir saya akan bagi tumpuan sepenuhnya,” katanya.
Malam tadi mereka yang meraih kedudukan ketiga dengan mata sebanyak 48.7 peratus membawa lagu Si Gadis Ayu nyanyian asal Black Dog Bone serta Hari Ini Dan Semalam (J.Mizan).
Minggu keenam dimenangi pasangan duo adik beradik, Sharif dan Syaiful yang menjadi juara mingguan sebanyak tiga kali dengan 71.3 markah, sekali gus layak membawa pulang RM10,000.
Pasangan suami isteri, Tom dan Fuad berada di tangga kedua bersama mata berjumlah 62. 9 peratus selain tempat ketiga, Adira dan kakaknya, Emma dengan 62. 8 peratus.
Duo lain di belakang Ariff dan Haqiem ialah Shila dan Syahir Amzah (45.9) serta Ryan bersama adiknya Adam (45.4).
Enam pasangan yang mempunyai pertalian itu bertanding bagi merebut hadiah utama RM100,000 pada malam kemuncak FD3 yang bakal berlangsung pada 3 Disember depan. – HIBGLAM