Festival Nada Danau himpun pemuisi, selebriti 3 November ini

TAMAN Negeri Royal Belum Perak bakal menjadi gelanggang konsert muzikalisasi puisi yang menyatukan penyair dan penyanyi popular tempatan menerusi Festival Nada Danau – Alam Sumber Karya.

Bakal berlangsung selama dua hari bermula 3 November ini, acara tahunan yang kali ini memilih suasana alam semula jadi sebagai latar turut dilengkapkan aktiviti lain seperti pameran, jualan seni kraf tempatan dan pameran haiwan.

Pengarah projek yang juga penyanyi lagu puisi, Umar Uzair berkata, edisi ke-12 ini menyaksikan deretan penghibur seperti Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri dan Bell Ngasri selain pemuisi tersohor yang berhimpun di Hentian Amanjaya Royal Belum Pulau Banding, Perak.

Bersandarkan sambutan pada edisi lalu di Langkawi, tahun ini kami mengajak pencinta puisi dan peminat muzik berkampung di lokasi hijau yang juga membawa karya seni kreatif keluar dari ruang lingkup rigid.

“Selain penghibur terkenal, Festival Nada Danau – Alam Sumber Karya turut menampilkan penerima Anugerah Sastera Asia Tenggara 2000, Datuk Dr Lim Swee Tin serta ramai lagi penggiat seni.

“Diharap usaha mendekatkan lagi masyarakat dengan karya pengisian sastera dan susasteraan memberi ruang kepada orang ramai menikmati keindahan bahasa serta budaya,” katanya pada sidang media di Zebra Square, baru-baru ini.

Umar yang juga penerima anugerah Penyair Muda ASEAN 2015 itu berkata, acara terbabit juga menjadi titik penggerak kepada pengkarya untuk berfikir secara kreatif dan berani keluar dari kepompong keselesaan.

Selain persembahan nyanyian, acara dimeriahkan Deklamtor Kebangsaan, Lin Haslinaz, Shirley Idris, Bah Bola, Aryan Andika dan Kumpulan Kesenian Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam persembahan seni kontemporari yang dikemudi Arja Lee,” katanya.

TAMAN Negeri Royal Belum Perak  menjadi gelanggang konsert muzikalisasi puisi yang berlatarkan alam semula jadi.

Umar berkata, idea penganjuran acara itu tercetus selepas kejayaan Konsert Puitika Legenda di Pulau Langkawi, Kedah, Julai lalu yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan.

“Beliau secara peribadi berpendapat, persembahan puisi dan sastera harus disebarkan dengan lebih meluas dalam skala berimpak tinggi dengan mencadangkan Taman Negeri Royal Belum sebagai lokasi,” ulasnya.

Menerusi festival ini, pengunjung dapat mengenali syair, nazam, gurindam, sajak dan pelbagai cabang puisi yang disampaikan dalam bentuk muzikalisasi.

Umar turut menyimpan impian melihat arena muzikalisasi puisi dapat berdiri setara dengan festival lain, termasuk membawa lebih ramai seniman dalam dan luar negara berkongsi idea kreatif.

“Saya membayangkan untuk mengadakan persembahan muzikalisasi di lokasi ikonik seperti Planetarium Negara, Taman Burung Kuala Lumpur dan Zoo Negara, selain impian untuk beraksi di Dewan Filharmonik Petronas (DFP),” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok