SEHANGAT bara tembakau bersulam aroma cengkih dan mawar, begitulah perasaan Dian Sastrowardoyo ketika mula-mula memainkan peranan Dasiyah di set penggambaran Gadis Kretek.
Antara teruja dan tertekan, dua emosi berlawanan itu dikatakan saling bertarung ketika fasa awal berada di dalam set penggambaran drama bersiri original pertama terbitan Netflix itu.
Setiap perincian dari lengguk bicara, cara berjalan hingga lengguk tubuh perlu dilakukan penuh tertib seperti karakter dibayangkan dalam novel asal yang juga judul siri berkenaan.
Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Deauville itu bahkan tanpa berselindung mengakui melalui tekanan hebat apabila sukar memberi transisi diri menjadi sosok wanita berjiwa ampuh seperti diingini sutradara Kamila Andini.
“Beragam dugaan perlu dilalui, malah pengorbanan untuk menjadi seorang wanita berhati waja yang mampu tembus ke dalam industri kretek era 1960-an dengan didominasi lelaki, sungguh getir.
“Saya berhenti berjumpa teman dan tidak bersosial selama enam bulan, hanya berkurung di rumah. Malah, sepanjang tempoh itu saya juga tidak melakukan aktiviti olahraga, berlari atau bermain tenis yang sangat saya gemari.
“Semuanya kerana saya mahu berlatih menjiwai cara dan tertib pergerakan wanita zaman itu, termasuk tidak lagi mendengar muzik moden, sebaliknya tertumpu kepada gamelan dan irama klasik.
“Saya banyak berlatih sendirian di rumah dan berdisiplin sehingga langsung tidak membuka televisyen selain tidak memegang telefon bimbit ketika berlatih,” luahnya mengimbau memori sepanjang penggambaran naskhah lima episod berkenaan.

GADIS Kretek yang menjadi siri original pertama Indonesia terbitan Netflix mencabar kemampuan Dian untuk menguasai karakter Dasiyah yang berjiwa ampuh dan punya pesona luar biasa hebat.
Pengalaman yang disifatkan sebagai memori mahal tersebut dikongsikan ketika sidang media maya dari Jakarta, Indonesia yang turut disertai teman gandingan, termasuk Ario Bayu, Putri Marino dan Arya Saloka.
Paling mencabar buat jelitawan berusia 41 tahun itu tentu saja melatih dirinya supaya jarang berkedip saat berbicara dengan orang lain yang menjadi antara ciri khas karakter Dasiyah atau Jeng Yah.
“Selain latihan menulis tangan di rumah sebagai cara membiasakan diri mengehadkan pergerakan, saya juga perlu minimumkan kelipan mata.
“Tentu saja ini paling susah sebab saya orangnya yang paling banyak berkelip-kelip dalam satu ayat, sedangkan Dasiyah adalah wanita yang sangat tenang,” kongsi ibu kepada dua cahaya mata itu.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.