ATAS rasa tanggungjawab terhadap golongan yang memerlukan dan rasa cinta menebal terhadap para peminat yang senantiasa memberikan sokongan, Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah bakal mengadakan majlis makan malam serta konsert mini yang diberi nama Makan Malam Amal Kaseh PLG dan Konsert Mini.
Acara berkenaan akan berlangsung pada 22 Disember di Hotel Royale Chulan Seremban dan turut menampilkan artis jemputan seperti Datuk Nash, Azlan (Lan & The Typewriter) dan Eka Sharif.
Makan malam tersebut juga merupakan inisiatif mengumpul dana dan memberi bantuan kepada rakyat Palestin serta sekolah tahfiz di Malaysia.
“Pada majlis makan malam itu nanti saya ada berbincang dengan Datuk Nash untuk membawakan lagu-lagu sentimental ketuhanan dan memperingati perjuangan mereka di Palestin.
“Ada beberapa cadangan lagu seperti Kepadamu Kekasih, Pada Syurga di Wajahmu dan Seruan. Selanjutnya masih dalam perbincangan kami,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Buat baik
Sementara itu, Nash menganggap majlis makan malam seperti yang dianjurkan itu menjadi satu pendekatan terbaik untuk golongan artis dan orang awam dalam melakukan kerja-kerja kebajikan.
Konsert amal seperti ini menjadi satu pendekatan terbaik untuk kita melakukan kerja kebajikan.
“Ini satu peluang untuk kami (barisan artis) dan atas usaha pencetus ideanya, Datuk Abdullah Ghani Kasim,” katanya.
Pengarah Program, Norhalim Norsip pula berkata, 50 peratus keuntungan daripada penjualan meja dan tempat duduk akan disalurkan kepada pusat tahfiz serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
50 peratus untung diderma
“50 peratus daripada keuntungan bersih penjualan meja akan disalurkan ke Pusat Tahfiz dan beberapa lagi NGO yang bergerak aktif membantu masyarakat.
Sebahagian daripadanya juga akan disalurkan juga ke Tabung Bantuan Palestin,” katanya.
Berbicara tentang konsep persembahan malam itu nanti, Nash berkata, dia akan mendendangkan beberapa lagu dari kumpulan Lefthanded mengenai perjuangan Palestin.
“Saya akan melakukan persembahan yang diamanahkan ini dengan sebaik mungkin. Saya dan Lefthanded sebelum ini pernah menghasilkan lagu mengenai peperangan dunia bertajuk Ya Maulana.
“Sekarang, lagu itu kita tujukan kepada rakyat Palestin. Konsert amal seperti ini menjadi satu pendekatan terbaik untuk artis melakukan kerja kebajikan,” tambahnya.
Sebarang urusan pembelian tiket, sila hubungi talian 013-2777009 (Kamal). 019-6081325 (Haiqal), 019-6081326 (Ziera), 011-10751801 (Syeida) dan 012-3330938 (Manja).