TIGA tahun dan setelah lama terperap mungkin dek kesibukan kerja dan masih tercari-cari waktu dan kata paling tepat, anak teater teater terkenal, Norzizi Zulkifli kini hadir dengan sebuah pementasan monodrama berjudul Dan Di Senja Itu.
Berbunyi estetik, ada sebab Dan Di Senja Itu dipilih Norzizi sebagai judul isi cerita.
Ungkap Ketua Pengajian Seni Persembahan, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM itu, monodrama berkenaan adalah sebuah dedikasi buat bapanya, seorang anak seni prolifik tanah air, Allahyarham Datuk Zulkifli Zain yang meninggal dunia tiga tahun lalu.
“Selepas dia meninggal 2020, saya mula mencatat memori-memori dan segala kebaikan papa (panggilan untuk arwah) dalam bentuk penulisan.
“Tahun 2021, tiba-tiba terpikir nak pindahkan catatan ini menjadi sebuah teater. Sebab saya orang teater. Lama sebenarnya penulisan ini tersangkut,” ujar Norzizi yang merupakan anak sulung pelakon Matinya Seorang Patriot itu.
Menurut Norzizi, Dan Di Senja Itu sungguh peribadi.
“Papa dijemput Ilahi ketika senja,” ungkapnya bergumam rasa.
Tambahnya: “Gambar yang saya guna pada poster itu saya tangkap masa arwah tunggu saya balik. Dia ingat saya belum balik.”
Selebihnya, banyak lagi cebisan kisah anak dan bapa yang bakal dikongsikan kepada penonton mengisi siri persembahan Masakini Theatre Company di Studio Ramli Hassan bermula pada 2 November ini.
Ditulis dan dipersembahkan secara solo oleh Norzizi, Dan Di Senja Itu juga turut mendapat arahan bersama sutradara tersohor, Hamzah Tahir.
Bereksplotasi dengan lakonan solo diadunkan bersama elemen tari, silat, muzik dan drama, kisah dari kaca mata seorang buat kasih bapa sehingga ke syurga itu pasti menjadi sesuatu yang sangat peribadi, bukan hanya buat Norzizi. Bahkan untuk setiap anak masih atau telah kehilangan seorang bapa.
“Sepatutnya naskhah itu dipersembahkan pada 8 Oktober sempena hari ulang tahun kelahiran papa, tapi pentas penuh. Jadi anjak ke 2 November,” katanya.
Dan Di Senja Itu membuka tirai persembahan esok di Studio Ramli Hasan, Bukit Tunku, Kuala Lumpur sehingga 5 November.
Tiket berharga RM80 dan RM30 untuk pelajar boleh didapati di pintu masuk studio atau hubungi talian; 017-2373539 untuk maklumat lanjut. – HIBGLAM