PENYANYI rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice berbesar hati untuk melunaskan saman RM1,000 yang dikenakan terhadap seorang pemuda atas kesalahan menconteng tembok bangunan kedutaan Amerika Syarikat (AS) dengan perkataan ‘terrorist’ (pengganas) oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Menerusi hantaran yang dikongsikan Caprice dalam Instagram miliknya, penyanyi berusia 35 tahun itu meminta pengikutnya untuk memberitahu pemuda tersebut bahawa dia akan membayar saman berjumlah RM1,000 bagi pihaknya.
“Siapa-siapa kenal adik ini, beritahu dia RM1,000 itu (saman), saya ‘payung’ (bayarkan). Insya-Allah jualan hari ini memang padu,” ujar Caprice.
Niat murni pemilik nama lengkap Ariz Ramli itu sekali gus menarik perhatian netizen apabila rata-rata menyokong tindakannya untuk membantu pemuda tersebut dan mendoakan agar dirinya sentiasa dimurahkan rezeki.
“Semoga kau dan ahli keluarga kau dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik. Amin,” ujar seorang netizen.
Terbaik Cap. Semoga dimurahkan rezeki,” ujar seorang lagi pengikutnya.
Bagaimanapun, terdapat segelintir pengguna Instagram seakan-akan tidak bersetuju dengan bantuan yang dihulurkan Caprice apabila menganggap perbuatan yang dilakukan oleh pemuda tersebut adalah salah kerana melakukan vandalisme.
“Vandalisme (melakukan kerosakan pada harta awam) tetap salah. Tidak boleh dinormalisasikan,” ujar seorang netizen.
Terdahulu, majistret Wong Chai Sia hari ini menjatuhkan hukuman denda terhadap Ahmad Ridzwan Al Amin Azman Shah, 23, selepas tertuduh yang bekerja sebagai jurutera projek itu mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda itu dan tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Ridzwan didakwa melakukan khianat iaitu merosakkan harta kepunyaan Kedutaan Besar Amerika Syarikat sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM200 iaitu menconteng tulisan ‘terrorist’ menggunakan penyembur cat warna merah.
Kesalahan itu dilakukan di tembok luar bahagian Utara Kedutaan Amerika Syarikat menghadap Jalan Tun Razak di sini antara pukul 5.30 pagi hingga pukul 5.45 pagi pada 28 Oktober lalu. – HIBGLAM