ANUAR ZAIN. Sepotong nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri hiburan tanah air. Penyanyi yang memiliki keistimewaan vokal mantap itu berada di kelasnya tersendiri.
Nilai eksklusiviti yang dipegang oleh pemilik nama lengkap Shahrul Anuar Zain itu menjadikan setiap persembahannya tidak pernah gagal mendapat perhatian peminat setianya.
Buktinya, selepas 10 tahun mencatat kejayaan cemerlang menerusi konsertnya berjudul Anuar Zain 3 Dekad pada 2013, penyanyi yang pernah bergelar seorang pramugara itu kembali dengan konsert solonya, Anuar Zain 40th Anniversary Concert (AZ40).
Jarak usia selama 10 tahun lama memendam kerinduan untuk menyaksikan persembahan konsert berskala besar penyanyi itu akhirnya terubat.
Cuaca hujan yang turun sepanjang hari dari pagi membawa ke malam pada tanggal 28 Oktober lalu tidak sedikit pun menjadi penghalang kira-kira 8,000 orang peminatnya membanjiri Stadium Malawati, Shah Alam.
Sorakan penuh gamat memenuhi ruang tertutup stadium saat layar gergasi memaparkan video evolusi wajah penyanyi itu sejak kecil sehingga sekarang pada usianya 53 tahun.
Sebagai pembuka tirai, Anuar menghiburkan peminatnya dengan mendendangkan lagu Kaulah Satunya dan Sesucinya Cintamu, namun dalam versi yang lebih rancak.
Tujuannya mungkin untuk memberi kehangatan pada penonton, selepas terpaksa mengharungi badai dan hujan yang masih ‘menggila’ di luar stadium.
Melanjutkan persembahan, adik kepada penyanyi Ziana Zain itu kemudiannya menyampaikan seleksi lagu popularnya seperti Kembalilah Kasih, Andainya Takdir, Ajari Aku dan Mungkin.
Memasuki segmen kedua, suasana yang mulanya meriah tiba-tiba bertukar menjadi hening. Mengimbas kembali konsert 3 Dekad Anuar Zain pada 2013, penyanyi itu terkenang akan pemergian Allahyarham Adibah Noor yang turut terlibat dalam konsert tersebut.
Ketika itu, Anuar yang menyampaikan lagu Cinta Tak Harus Memiliki melunaskan persembahan bersama Allahyarham serta penyanyi Dina Nazir dan Elvira Arul.
Namun, apa yang mencuri tumpuan penonton adalah keadaan Anuar yang dilihat sedikit lelah. Katanya, seminggu menjelang konsert, keadaan kesihatannya tidak begitu mengizinkan apabila mengalami demam dan batuk yang agak teruk.
Bahkan, sehingga hari konsertnya berlangsung, kondisi suaranya belum lagi pulih sepenuhnya apabila mudah semput sehingga sukar untuk dirinya menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi.
Tidak hairanlah, setiap kali selepas selesai menyanyi, Anuar ‘curi-curi’ menggunakan nebulizer untuk memastikan nyanyiannya tidak terganggu sepanjang dua jam membuat persembahan.
Mengakui sedikit kecewa atas apa yang berlaku, Anuar bagaimanapun tetap melakukan yang terbaik, kerana tidak mahu menghampakan peminat yang sudah melabur wang ringgit.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM