‘Tiada lagi isyarat ‘cumi-cumi’, mungkin mereka segan’

PENYANYI Nabila Razali mengakui layanan peminat lelaki terhadap dirinya tampak berbeza sejak bergelar isteri dua minggu lalu.

Katanya, sebelum ini peminat lelaki menegurnya dengan gaya tangan cumi-cumi, tetapi sekarang mereka tampak segan berdepan dengannya.

“Dulu peminat lelaki akan tegur saya dengan menunjukkan isyarat ‘mini love’ atau cumi-cumi.

“Namun, apabila saya sudah berkahwin, mereka tidak lagi menyapa saya seperti itu. Mungkin segan nak tegur saya.

“Saya perasan ramai yang cuma angkat tangan dan tiada lagi sikap gila-gila. Tak mengapa, mereka hormati status saya sebagai isteri orang,” katanya selepas pelancaran single Hanya Kamu dan koleksi tudung Nada X Nabila Razali, hari ini.

Pada masa sama, penyanyi yang bergelar isteri kepada ahli perniagaan Nik Iruwan Nik Izani, 38, itu mendedahkan berasa janggal dipanggil puan.

Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali, 31, berkata, kejadian tersebut berlaku ketika mengadakan persembahan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, baru-baru ini.

“Bila saya dipanggil puan, pada mulanya saya agak terkejut. Saya tanya kembali, kenapa panggil puan?

Kemudian individu terbabit memaklumkan yang saya telah berkahwin, barulah saya tersedar sudah jadi isteri orang

“Lucu juga, bukan apa macam janggal lagi sebab sebelum ini dipanggil cik sahaja. Saya masih cuba biasakan diri,” ujarnya.

Diusik mengenai masakan pertama untuk suami, penyanyi Pematah Hati itu menyatakan belum berkesempatan menyediakan juadah buat Nik Iruwan berikutan jadualnya yang padat.

Begitupun, dia teringin menghidangkan lauk sambal jawa air tangannya sebagai menu pertama buat belahan jiwanya itu.

Saya suka masak sambal jawa dan nak suami rasa juadah istimewa ini, tapi belum lagi berkesempatan sebab masih penuhi jadual kerja.

“Sejak majlis kami tempoh hari, saya belum dapat cuti panjang lagi. Mujur si dia sangat memahami kerana perkara ini sudah kami bincangkan sebelum berkahwin,” katanya.

Nabila sah bergelar isteri kepada bekas pemandu litar Formula itu pada 18 November lalu selepas enam bulan berkenalan.

Majlis pernikahan mereka berlangsung di The Chateau Spa & Wellness Resort, Pahang secara tertutup dengan dihadiri ahli keluarga serta teman rapat.

Sempena pernikahan itu, Nabila turut menghadiahkan lagu Hanya Kamu yang menceritakan detik manis perkenalannya dengan Nik Iruwan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok