KREDIBILITI figura bernama Datuk Aaron Aziz dalam arena lakonan tidak dapat disangkal, malah kelibatnya cukup sinonim di layar perak sebagai bintang aksi, mahu pun drama genre cinta.
Versatiliti aktor kelahiran Kota Singa itu membuktikan pengalaman yang cukup luas menjadi titik tolak kepadanya untuk mencabar diri duduk di kerusi sutradara.
Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, itu peluang diraih Aaron saat diberi kepercayaan mengarahkan sebuah filem cinta berjudul Sayu Yang Syukur.
Filem yang bakal menghiasi pawagam seluruh negara ini membawa naskhah sarat pengajaran dan plot twist yang segar selain bakal menjangkau standard kebiasaan filem bergenre sedemikian.

SAYU Yang Syukur merupakan karya kedua arahan Aaron Aziz selepas mengarahkan filem sulung berjudul Romeo Kota.
Jelas pemilik nama penuh Aaron Mustapha Aziz itu, pembabitannya dalam filem tersebut berawal dengan tawaran seorang penerbit, Allahyarham Datuk Gulzar Mohamad Noor Mohamed atau lebih dikenali sebagai Mohd Atlas pada 2015.
“Pada awalnya saya diberikan peluang untuk berlakon sahaja, namun arwah kemudiannya tawarkan pula untuk saya mengarahkan filem ini.
“Saya berasakan ini satu peluang yang tidak harus dilepaskan memandangkan saya tak pernah mengarahkan sebuah filem cinta, jadi ini merupakan pengalaman bermakna,” ujarnya.
Tambah Aaron lagi, apa yang membuatkan dia tertarik untuk mengarahkan filem berkenaan apabila dia diberi kebebasan oleh pihak penerbit, terutama dari segi pemilihan pelakon dan olahan skrip.
“Untuk skrip saya membuat 90 peratus olahan berbanding skrip asal dengan memasukkan idea-idea baharu agar filem ini mempunyai kelainan dengan filem cinta yang lain.
“Begitu juga dengan pemilihan pelakon apabila saya diberi sepenuh kepercayaan untuk memilih barisan pelakon yang saya inginkan,” jelasnya.

MENERUSI Sayu Yang Syukur, Aaron bergandingan dengan aktres Nora Danish.
Tambahnya, untuk mengarahkan sebuah filem cinta bukanlah sesuatu kerja mudah memandangkan genre sebegitu lebih bermain kepada emosi dan perasaan yang mendalam.
“Apabila menjadi pengarah, banyak benda yang saya perlu jaga. Mana nak berlakon, jaga dialog, jaga lokasi bagi memastikan semuanya berjalan lancar. Memang sesuatu yang agak mencabar.
“Apapun saya bersyukur dan berterima kasih kerana mendapat kru produksi yang banyak membantu sepanjang penggambaran serta pelakon yang memberikan komitmen yang sangat baik untuk menjayakan filem ini,” ujarnya.
Sementara itu, Saiful Azmi Jamsari selaku penerbit berkata, pihaknya bersetuju mengambil pelakon serba boleh itu selaku pengarah kerana yakin dengan bakat, kemampuan serta pengalaman dimiliki.
Ujarnya, sepanjang penggambaran pihaknya melihat kesungguhan serta kerja keras yang ditunjukkan Aaron, meskipun belum mempunyai banyak pengalaman selaku sutradara.
“Memberikan peluang kepada pengarah baharu seperti Aaron Aziz penting kerana mereka membawa semangat, idea segar dan pandangan yang berbeza dalam industri yang mungkin boleh menjadi stereotaip.
“Ketika memilihnya dahulu memang dia agak baharu untuk duduk di kerusi pengarah, tetapi kami yakin dengan bakat dan potensinya untuk berkembang dengan dibantu pasukan produksi yang dedikasi,” jelasnya.

GABUNGAN pelakon hebat tanah air seperti Aaron Aziz, Nora Danish, Arja Lee, Ahmad Tamimi Siregar dan ramai lagi menyokong jalan cerita filem ini untuk berdiri sebagai sebuah naskhah cinta tidak klise.
Sementara itu, Azmi berkata, dengan menggabungkan elemen-elemen artistik yang menakjubkan dengan tema cinta universal, pihaknya mahu mencipta sebuah karya seni menyentuh hati penonton dengan menggerakkan mesej cinta, kebaikan, dan keikhlasan.
“Sayu Yang Syukur berkisarkan cinta yang merentasi sempadan kasih dan keindahan.
“Kami telah memilih untuk mengeksplorasi elemen konflik kerjaya, dilema, cinta dan benci dan tanggapan untuk mencipta sebuah naratif yang lebih mendalam dan multi dimensi,” katanya.
Selain Aaron, Sayu Yang Syukur turut dibintangi Nora Danish, Arja Lee, Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan ramai pelakon hebat.
Diterbitkan syarikat Nusanbakti Corporation Sdn. Bhd, karya kedua arahan Aaron Aziz selepas Romeo Kota tersebut akan menemui penonton di seluruh negara bermula 28 Disember depan. – HIBGLAM