Saya tak minta tajaan peribadi – Jasmine Suraya

CARILAH ilmu sehingga ke negara China. Frasa tersebut barangkali kena dengan perjalanan Jasmine Suraya tetapi bukan ke China sebaliknya ke Los Angeles (LA), Amerika Syarikat.

Meraih peluang keemasan melanjutkan pengajian dalam bidang lakonan di Lee Strasberg Theatre and Film Institute adalah satu rezeki yang tidak pernah terlintas dalam benak fikirannya.

Layak untuk berasa bangga dengan diri sendiri, Jasmine menjadi artis Malaysia pertama melanjutkan pengajian dalam jurusan ‘method acting’ di akademi tersebut, selain satu-satunya selebriti Asia yang berjaya terpilih dalam kemasukan kali ini.

Tidak cukup dengan itu, institusi tersebut juga pernah melahirkan alumni hebat pemain industri bertaraf antarabangsa seperti Al Pacino, Robert De Niro, Angelina Jolie, Chris Evans, Scarlett Johansson dan Lady Gaga.

Justeru, tiada sebab untuk dirinya menolak tawaran tersebut yang diterima beberapa bulan lalu selepas melalui proses kemasukan yang sukar termasuk penulisan esei, uji bakat dan temu duga secara virtual.

Bukan laluan yang mudah, namun Jasmine berjaya membuktikan kesungguhan dan kerja kerasnya membuahkan hasil apabila nama disenarai pendek.

Mengakui pernah ragu-ragu untuk menerima tawaran tersebut, dia bagaimanapun tekad menyahut peluang keemasan itu demi mengutip ilmu yang mungkin tidak terdapat di tempat lain.

“Memang sudah lama rancang tetapi apabila dapat tawaran, saya fikir panjang juga sebab perlu tinggalkan banyak benda dalam tempoh setahun. Namun tiada sebab untuk saya tolak, bukan senang nak dapat.

“Realitinya, ramai orang malaysia memiliki bakat besar tetapi tidak diberikan peluang atau platform untuk ketengahkannya kerana kurang kepercayaan daripada pihak yang sepatutnya.

“Justeru, saya lihat peluang ini sebagai pencetus untuk lebih ramai berani dan bekerja keras mengejar impian bergelar anak seni yang berjaya,” katanya.

JASMINE ada memohon tajaan daripada beberapa agensi kerajaan termasuk Finas bagi menampung kos pengajian.

Bintang filem Paskal itu mendedahkan kos keseluruhan pengajiannya sekitar RM300,000 dan turut menghantar permohonan pembiayaan ke beberapa agensi kerajaan termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

“Selain agensi kerajaan dan kerajaan Sarawak, saya ada juga mengusulkan hal ini kepada Finas.

“Saya bukan mahu minta duit untuk perbelanjaan peribadi tetapi minta mereka melabur untuk seorang anak seni tempatan yang membawa nama Malaysia ke luar negara.

“Jika mereka melabur, perkara itu buat saya rasa nak berbakti dan bayar semula dengan beri sesuatu kepada industri pada masa depan,” tegasnya yang akan mengeluarkan belanja sendiri sekiranya tiada pihak berminat menaja pengajiannya.

Melanjutkan bicara, aktres berusia 34 tahun itu berpendapat kesukaran mendapatkan tajaan adalah disebabkan wujud segelintir pihak beranggapan industri seni tidak mampu memberi sumbang besar terhadap negara.

“Apa yang saya lihat, industri seni mungkin kurang diiktiraf segelintir pihak dan tidak dilihat sebagai satu sektor besar pun.

“Sepatutnya kita lihat apa yang berlaku di Korea Selatan apabila kerajaan mereka memandang tinggi industri seni sehingga mampu menjana pendapatan besar untuk ekonomi negara,” jelasnya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok