Kekal berbisa, Radja bawa anak hiburkan peminat

INSIDEN berdepan ugutan ketika kali terakhir berkunjung ke Malaysia sekitar Mac lalu tidak mematahkan semangat kumpulan Radja kembali beraksi cemerlang di negara ini.

Kedatangan band Indonesia itu tetap disambut baik peminat tempatan yang dibuktikan menerusi konsert di Mega Star Arena Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Anak pewaris bakat

Persembahan dimulakan dengan aksi gitaris Radja iaitu Moldy tampil mempersembahkan skil ‘menggoreng’ gitar sekali gus memberi petanda kumpulan itu bersedia menghiburkan peminat.

Selepas puas memetik gitar, vokalisnya Ian Kasela tampil dengan energi yang luar biasa menyampaikan lagu Bulan, Selalu Jauh Dari Cinta, Wahai Kau Cinta dan Tetaplah Kau Jadi Milikku.

Anak-anak Radja dilihat sangat mesra berkomunikasi dengan peminat seolah-olah sudah biasa berada di atas pentas.

Istimewanya kali ini, kumpulan Radja membawakan anak kepada Moldy iaitu Axel Farden dengan menyampaikan lagu Baby Angel nyanyian asal Troye Sivan.

Bukan sahaja kehebatan vokal yang menjadi sorakan peminat tetapi ketampanan dan kecomelannya juga menjadi punca utama peminat sepertinya hampir tersampuk histeria.

Konsert diteruskan dengan persembahan beberapa seleksi popular zaman 1990-an iaitu Manusia Biasa, Yakin, Tulus dan Cinderella.

Kejutan Axel ke pentas tidak cukup bagi Radja sekali gus mendorong mereka menampilkan pula putera kedua Ian, Farell Kasela memadu suara menerusi lagu Aku Ada Karena Kau Ada.

Ternyata, vokal Farell sama hebat seperti bapanya membuatkan adrenalin khalayak terus memuncak.

Aksi menghiburkan diteruskan dengan beberapa karya popular yang menaikkan nama Radja di Malaysia seperti Patah Hati, Call Me, Angin dan Ga Ada Waktu.

Ian juga mengetengahkan anak sulungnya, Hugo Kasela untuk dendangan duet dengan lagu Benci Bilang Cinta.

Selain itu, dia sempat menyampaikan lagu singlenya berjudul Pilihan Terbaik.

“Satu kehormatan untuk berada di atas pentas yang sama dengan ayahanda sendiri.

“Tambahan pula disaksikan oleh peminat di Malaysia,” katanya usai menyampaikan lagu singlenya sebagai tanda memperkenalkan diri di Malaysia.

Gigit nostalgia

Tidak adil sekiranya anak kepada pemain dram tidak muncul bersama berkongsi pentas dengan Radja.

Jadi, Anum selaku anak kepada Seno Aji tampil mengetuk dram yang sememangnya menjadi makanannya.

Tepat pukul 11 malam, Ella muncul ke pentas berbaju hitam dan putih berduet bersama Ian menerusi lagu Jujur yang sangat popular sekitar tahun 2004.

Radja masih relevan sehingga ke hari ini dengan seleksi hits yang bernuansa malar segar.

Apa yang dipaparkan ternyata membuatkan nostalgia penonton seperti dijentik.

Radja, satu jenama yang cukup dekat dengan generasi 1990-an. Terima kasih kerana masih setia menhiburkan.

Terima kasih kerana masih setia dalam kewujudan menggigit memori ramai dengan menghadirkan konsert.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok