KEPUTUSAN meninggalkan karier yang mendatangkan keberuntungan pendapatan lumayan dan kemasyhuran tentunya bukan satu hal mudah, namun itulah yang berlaku saban hari, ketika dan di mana sahaja, baik dalam negara mahupun persada antarabangsa.
Dunia K-pop tidak ketinggalan, ada yang terus lenyap, ada juga yang memilih terus hidup di mata peminat biarpun hanya dalam media sosial.
Kimchi Panas minggu ini menampilkan barisan selebriti Korea Selatan yang hilang dari radar industri hiburan, sekaligus menguburkan karier mereka sebagai anak seni.
G.NA
G.NA merupakan seorang idola K-Pop bawah naungan CUBE Entertainment yang memulakan kerjaya seni sekitar 2010.
Dalam kerjayanya selama enam tahun, dia mencipta nama sebagai penyanyi solo dengan empat album studio, pelbagai single runut bunyi untuk rantaian drama popular Korea Selatan.
Tetapi semuanya punah apabila G.NA dilaporkan terlibat dalam skandal pelacuran sekitar 2016 dan didakwa memberi khidmat seksual kepada ahli perniagaan yang tidak dikenal dengan bayaran sekitar RM150,000 setiap kali berurusan.
Perkara tersebut dinafikan G.NA dengan menegaskan, dia hanya bertemu lelaki terbabit hanya untuk temu janji dan memberitahu dirinya tidak tahu rakannya itu sebenarnya broker untuk pelacuran mewah.
G.NA akhirnya didakwa melakukan pelacuran dan terpaksa membayar denda sebanyak RM8,000.
Berikutan skandal berkenaan, G.NA menghentikan semua aktiviti dan perancangan seninya dan memutuskan untuk tidak lagi kembali dalam industri hiburan Korea Selatan.
LEE TAE-IM
Tiada angin tiada ribut, pelakon jelita Lee Tae-im secara mendadak mengumumkan keputusannya bersara daripada dunia hiburan.
Dia juga memadam semua akaun media sosialnya di seluruh platform dan memulai hidup sebagai individu bukan selebriti.
Difahamkan, hasrat pelakon tersebut ingin meninggalkan dunia seni tercetus apabila videonya menghamburkan kata-kata kesat ketika bergaduh dengan pelakon Yewon tular dan menjadi topik hangat dalam media sosial.
Susulan itu, Tae-im meninggalkan pesanan terakhir kepada peminatnya menerusi akaun Instagram miliknya sebelum dipadam.
“Melalui kesukaran dengan banyak kekesalan dan kesakitan, saya memutuskan untuk menjalani kehidupan normal sebagai bukan selebriti.
“Saya tidak akan melupakan mereka yang menyayangi saya. Terima kasih,” katanya ringkas.
CHA YOON-JI
Penyanyi Cha Yoon-ji memulakan kerjayanya sekitar 2017 dengan single sulungnya berjudul I Dream.
Entah di mana silapnya lagu tersebut tidak mendapat sambutan sekali gus menjadikan karya tersebut satu-satunya single yang dikeluarkan Yoon-ji.
Selepas penampilan sulungnya itu, dia juga ada mengambil bahagian dalam rancangan survival The Unit tetapi terpaksa menarik diri atas alasan kesihatan.
Sejak itu, Yoon-ji agak tidak lagi aktif sebagai anak seni, karya dan kariernya bagaikan tergantung sepi tanpa sebarang kemas kini mahupun perkhabaran tentang status hidupnya yang terkini.
ORI
Ori membuat penampilan sulung sekitar 2009 meneruis program KBS‘s Music Bank dan siapa sangka itu akan menjadi kali terakhir orang melihatnya muncul di depan khalayak.
Peringkat debutnya dikritik hebat netizen yang menganggap penampilan sulungnya adalah antara yang paling teruk dalam sejarah K-Pop dan seolah tidak mencapai piawaian kecantikan sebagai seorang idola.
Difahamkan, Ori cukup terluka dengan komen berunsurkan kebencian itu sekali gus membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada industri hiburan buat selamanya.
“Kata-kata nista dihambur netizen sangat melampau sehingga saya terpaksa menghabiskan separuh masa sekolah menengah saya dengan kemurungan, cukuplah buat saya terseksa,” ujar Ori dalam sebuah kenyataan.
Menurut sebuah laporan, Ori kini dikatakan sudah menetap di Jepun dan merancang untuk menjadi seorang komposer.