Zulin ajak selebriti, pempengaruh jadi ‘askar’

KONFLIK berdarah di Semenanjung Gaza mendorong pelakon, Zulin Aziz untuk menyeru rakan selebriti dan pempengaruh menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin menerusi media sosial masing-masing.

Katanya, medium yang dapat diikuti masyarakat seluruh dunia itu perlu dimanfaatkan bagi tujuan lebih bermakna, bukan sekadar dijadikan medan mempertontonkan gaya hidup atau barang mewah semata-mata.

“Ada ramai pengikut dalam media sosial? Takkan kita cuma guna untuk ‘post’ apa kita pakai, apa kita jual, apa kita tengah buat, berapa banyak kolaborasi dengan jenama, pemasaran dan sebagainya.

“Kita tak mampu nak bantu benda lain, guna apa yang kita ada ini sebagai tanda sokong terhadap Palestin. Bukanlah kalau tak ‘post’ tak sokong, tapi kita kan ada kelebihan itu?

‘Kalau kita boleh tunjuk kita pakai beg apa, kenapa kita tak boleh bagitahu satu dunia kita sokong siapa?”

“Allah pilih kita jadi orang yang dikenali, berpengaruh, jadi manfaatkanlah. Kalau kita mampu mempengaruhi pengikut kita dengan makanan, pakaian, harta dunia mustahil kita tak mampu ajak mereka bersatu menyokong Palestin,” katanya.

Begitupun, Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz, 33, yang berkongsi pandangan mengenai isu tersebut di laman sosial enggan memaksa rakan seperjuangan menuruti saranannya.

Cuma, dia berharap apa yang diluahkan dalam Instagram itu menjentik hati individu lain untuk menggunakan platform terbuka sebagai gelanggang menyalurkan sokongan moral buat pejuang serta rakyat Palestin.

“Perkongsian ini tak ditujukan kepada mana-mana pihak atau siapa-siapa.  Kalau ada yang baca dan terbuka hati, Alhamdulillah,” luahnya.

Dalam hantaran berlainan, pengacara dan pelakon itu turut menjelaskan apa yang dikongsi itu adalah untuk membantu menangkis fitnah Zionis mengenai situasi sebenar pertempuran di bumi Palestin.

Kata Zulin lagi, berkongsi hantaran dan sokongan terhadap saudara seagama di sana bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi menjadi ‘askar’ media sosial bagi menyalurkan kebenaran.

“Memang lain orang lain cara, ada yang berdoa dari jauh, derma senyap-senyap, Allah saja yang tahu. Betul, tapi minta jasa baik awak yang ramai pengikut sebarkan.

“Minta awak ‘post’ pasal Palestin, kat luar sana Israel fitnah. Kita tak mampu pergi perang tapi dalam media sosial kita boleh bantu jadi askar sebarkan kebenaran.

“Kalau kita tahu kebenaran apa salahnya kita sebarkan. Apa kita buat orang terbuka hati dan ikut, mereka pula sampaikan,” katanya.

Menurut Zulin lagi, dia berharap tujuan perkongsian mengenai isu Palestin itu tidak disalaherti selain meminta orang ramai memahami perkara ingin disampaikan.

“Ini sekadar pendapat, tak setuju abaikan. Jangan pula kita herdik, maki sesama kita. Terpulang kepada pendirian masing-masing. Satu hantaran bagi banyak manfaat,” katanya.

Seminggu selepas serangan balas Israel, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan angka kematian di wilayah itu meningkat kepada 2,600 orang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok