[VIDEO] Nak mencopet, jadilah seperti Lupin 

KEMBALI dengan bahagian ketiga, siri thriller misteri Perancis, Lupin masih tidak hilang magis sejak musim pertama bahkan alur cerita kali ini lebih kompleks, lebih mendebarkan dan lebih menderaskan adrenalin.

Sebagai pengikut jenama drama Lupin sejak 2021, musim terbaharu masih menepati piawaian. Masih ‘kaya’ dengan kehebatan Omar Sy memainkan peranan Asspane Diop penuh karisma dan bergaya.

Bukan itu sahaja, watak-watak sedia ada seperti Claire Laurent, Guédira dan Benjamin lebih meninggalkan dampak berbanding dua musim terdahulu.

Dari segi terjemahan karakter, peranan-peranan baharu yang diperkenalkan seperti villain bernama Keller dan Mariama (ibu kandung Assane) juga langsung tidak mengecewakan.

Kendatipun, buat penulis secara peribadi, kalau dibandingkan dengan dua musim terdahulu, karakter villain ‘asal’ Hubert Pellegrini lebih meninggalkan dampak buat penonton. Impak lakonan villain baharu bernama Keller tetap berbekas, namun Pellegrini selamanya beraja di hati.

OMAR Sy mengekalkan prestasi cemerlang sebagai Asspane Diop yang berkarisma dan bergaya.

Siapa Keller yang sangat berdendam dengan Assane? Sedikit ‘spoiler’, dia adalah mentor dan rakan zaman remaja Assane yang sama-sama belajar mencuri. Selanjutnya, silalah menjadi saksi sendiri dengan menonton Lupin (Part 3) menerusi akaun Netflix masing-masing.

Berbalik tentang kualiti, Keller sebagai villain banyak bersembunyi di sebalik konco-konconya. Itu yang barangkali kurang membuatkan watak itu menonjol berbanding Pellegrini (yang sudah tertangkap dan dipenjara).

Paling penting, kualiti Omar Sy kembali memainkan peranan sebagai Assane masih bertaring.

Kali ini, dia lagi licik sampai sanggup masuk ke dalam kubur demi memalsukan kematian agar insan tersayang iaitu isteri dan anak lelaki hidup normal seperti orang lain.

Juga diselitkan ‘jejak kasih’ antara Assane dengan ibu kandungnya, Mariama, namun alur demi alur, wanita itu bukan seperti apa yang disangka ramai. Barangkali kelicikan Assane dan mendiang bapanya, Babakar juga mengalir dalam ‘DNA’ Mariama.

MUSIM terbaharu Lupin, penonton diperkenalkan dengan watak baharu iaitu Mariama, ibu kandung Assane.

Lupin kini banyak babak imbas kembali. Buat sebilangan penonton, itu mungkin jadi satu masalah. Buat sebilangan yang lain, itu tidak langsung mencacatkan deras adrenalin, bahkan membuat minda lebih bergeliga mengikuti alur cerita. Penulis kategori yang kedua. Sangat subjektif.

Mencuri

Hanya sepanjang lapan episod dengan lebih banyak kisah menelusuri zaman persekolahan atau remaja Assane, semua itu membuatkan audiens lebih ingin tahu mengapa dan bagaimana lelaki itu menjadi Lupin seperti sekarang.

Lupin suka mencuri, mencopet, menyamar, menyamun, namun dengan penuh ‘stailo’ dan bebas kepentingan sendiri.

Apa yang Assane lakukan adalah demi orang sekeliling bukan untuk menjadi kaya-raya.

Apa yang Assane lunaskan bermotif memberikan keadilan kepada orang ramai, terutama golongan teraniaya dan sekali gus menindas taikun atau golongan elit yang memijak-mijak kepala atau ideologi pihak lebih lemah.

Kadang-kadang, tidak semua perkara atau masalah dalam dunia boleh diselesaikan dengan seadil-adilnya. Maka, muncul individu seperti Assane yang memilih jalan sendiri kerana undang-undang sekarang dilihat bersifat berat sebelah, cenderung terhadap warna kulit dan kasta.

Lupin (bahagian 3) mantap dan bermarkah cemerlang! – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok