Ternoktah serpihan kisah cinta Aisha Retro

PENGALAMAN putus cinta selain mengikuti kisah perpisahan selebriti lain mencetuskan ilham kepada penyanyi Aisha Retno untuk menghasilkan karya berjudul Ternoktah.

Sarat emosi dan makna mendalam, katanya, bingkisan syahdu itu diharap menyuntik kekuatan buat semua insan yang pernah diselimuti kekecewaan akibat putus kasih.

“Gelombang berita perpisahan melibatkan penggiat seni terkemuka seperti dipaparkan media antara perkara yang menerbitkan rasa simpati ramai.

“Sebagai individu yang pernah merasai kesakitan ini, saya ambil inisiatif himpunkan segala kepahitan dalam sebuah lagu, namun tetap diselitkan unsur positif untuk renungan bersama.

“Ternoktah mengisahkan perasaan yang sudah berakhir tetapi mencintai tidak bermakna memiliki dan kita kena cari kebahagiaan serta teruskan kehidupan,” katanya mengenai lagu balada terbabit.

Begitupun, penyanyi berusia 23 tahun itu mengakui skop dendangan nukilan dua orang komposer dan penulis lirik, Hanis Rafi dan Firdaus Rahmat cukup meluas.

Bukan sekadar kemusnahan cinta, semata-mata, sebaliknya naskhah berkenaan boleh dikaitkan dengan perkara yang berlaku di sekeliling terutama membabitkan kehidupan.

“Dalam kehidupan, kadangkala kita rasa tak mahu lagi lakukan sesuatu, atau mungkin kita ingin mulakan lembaran baru dengan orang yang kita percaya.

“Bagi meneruskan fasa ke arah itu, sudah tentu kita meletakkan noktah pada cerita lama demi permulaan langkah baharu,” tambah penerima Anugerah Emas (SAMIs) dengan penjualan strim single W.H.U.T (Wanna Hold U Tight) di Malaysia dan Indonesia.

BUKAN sekadar putus cinta, sebaliknya lagu Ternoktah turut berkaitan perpisahan yang berlaku di sekeliling.

Berkongsi lagi soal hati, pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam itu mendedahkan, telah berdamai dengan takdir supaya reda dengan ketentuan berdepan perpisahan.

“Buat masa sekarang saya lebih menyibukkan diri terhadap kerjaya nyanyian, lakonan dan pengacaraan sekali gus melalui fasa turun naik kehidupan dengan lebih terbuka.

“Saya bersyukur temui kedamaian dan menjadikan pengalaman ini sebagai pengajaran, malah turut bersyukur mempunyai sistem sokongan terbaik iaitu ibu dan ayah saya.

“Perpisahan juga dilalui ramai orang kerana sebagai manusia biasa kita tidak dapat lari daripada situasi begini yang hakikatnya mengajak kita merenung erti sebenar cinta dan kepahitan,” luahnya lagi.

Sebelum ini, Aisha yang pernah menghasilkan beberapa lagu genre lain seperti Sutera dengan disuntik eleman Muzik Tarian Elekronik (EDM) ingin terus menghasilkan karya segar bersama genre berbeza.

Ekperimentasi dalam setiap nukilannya diharap memberi variasi serta nilai tambah kepada penggemar muzik khusus buat halwa telinga mereka.

“Harapan saya sudah semestinya Ternoktah diterima pendengar dan sudah tentu selepas ini banyak rangkaian seleksi sagar lain bakal menyusul,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok