ENTAH mitos atau secara kebetulan, kata orang, setiap manusia dalam dunia ini memiliki wajah seiras dengan tujuh individu lain.
Kejadian serupa barangkali dirasai dramatis bertubuh genit, Qasrina Karim yang dikatakan memiliki wajah saling tak tumpah dengan dengan pelakon tersohor, Mira Filzah.
Berpijak di padang sama, Qasrina pastinya tidak terlepas daripada kerap dibanding-bandingkan dengan Mira.
Bukan hanya paras rupa tetapi mutu lakonannya juga kerap dijadikan bahan perbandingan netizen.
Kedengaran seperti merimaskan tetapi itu yang harus dihadam pelakon berusia 27 tahun itu sejak mula menapak dalam industri seni, sekitar dua tahun lalu.
Pemilik nama penuh Qasrina Abdul Karim itu bagaimanapun tidak pernah terasa hati apabila bakatnya sering dipertikaikan sehingga ada yang menuduh dia meniru cara lakonan Mira.
“Saya okey sahaja kalau orang masih banding-bandingkan kami berdua.
“Kami memang nampak serupa tetapi hakikatnya tidak sama pun,” katanya kepada Pose baru-baru ini.
Pernah disatukan menerusi drama Imam Instant Ustazah Scammer, Qasrina berkata setiap persamaan yang diwujudkan khalayak tentang mereka sepatutnya diambil daripada sudut positif berbanding negatif.
“Persamaan yang wujud antara kami bukan satu benda negatif pun sebab perkara itu boleh digunakan untuk macam-macam perkara.
“Boleh juga guna ke arah positif sebab kalau digandingkan bersama, kami boleh mainkan watak adik-beradik, lebih mudah bukan?” jelasnya.
Dia juga berkali-kali bertegas, mereka berdua mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri sebagai pelakon.
“Meskipun wajah kami dikatakan sama, semua orang ada kekuatan dan keistimewaan tersendiri. Personaliti sangat berbeza, cara kami membawa setiap watak juga lain.
“Kalau sudah mengenali secara rapat, kami adalah dua individu yang berbeza sebenarnya.
“Ramai yang sudah jumpa kami berdua akan cakap perkara sama, nampak serupa tetapi lain sebenarnya,” tuturnya.
Tegasnya lagi, dia juga tidak pernah sesekali cuba meniru personaliti dan teknik lakonan Mira yang popular dengan drama Sweet Dreams itu.
“Tiada istilah atau terlintas dalam fikiran pun hendak meniru gaya atau cara lakonan sesiapa pun, terutama Mira.
“Kalau boleh saya tak mahu terlalu beratkan fikiran dengan hal-hal begini,” ujarnya.
Fokus Qasrina, mengukuhkan jenama dan terus memahat pengaruh sebagai anak seni adalah ambisinya ketika ini.
“Satu benda yang saya fokus ketika ini ialah buat yang terbaik dan cuba untuk kekalkan nama dalam dunia lakonan.
“Hendak pastikan nama terus terpahat bukan senang sebab memerlukan banyak usaha dan pengorbanan.
“Kadang-kadang kita pun tahu industri macam mana, adakalanya berada di atas dan sebaliknya.
“Apa pun, saya akan sentiasa lakukan yang terbaik sebagai seorang pelakon,” katanya lagi.