Pelakon Syifa Melvin selamat melahirkan cahaya mata sulung yang diberikan nama Saif Sulaiman Muhammad Safawi pada 5.28 petang semalam.
Berita gembira tersebut dikongsikan isteri kepada pemain bola sepak pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Safawi Rashid itu dalam laman sosialnya.
Syifa atau nama sebenarnya Nur Syifa Atirah Amirul Melvin, 29, itu turut meluahkan kesyukuran dengan kelahiran si kecil di sebuah pusat perubatan di Johor.
“Syukur Alhamdulillah, Allah sebaik-baik perancang. Saif Sulaiman,” tulisnya menerusi Instagram Story.
Perasaan gembira juga diluahkan suaminya yang membuat perkongsian detik bermakna terbabit buat tatapan pengikutnya.
“Masya-Allah, Tabarakallah. Saif Sulaiman Muhammad Safawi selamat dilahirkan pada 30 September 2023, jam 5.28 petang,” katanya.
Semalam, Safawi, 26, memuat naik gambar memakai pelitup muka dipercayai berada di hospital bagi menanti kelahiran anak pertama mereka.
Pasangan sensasi itu mendirikan rumah tangga pada 28 November tahun lalu, namun hanya berkongsi berita kehamilan ketika kandungan sudah memasuki enam bulan. – HIB GLAM