BERANG dituduh melakukan hubungan sulit dengan suami orang, pelakon Shakilla Khoriri mencabar seorang wanita bersemuka dengannya, hari ini.
Ibu tunggal kepada seorang cahaya mata itu menjalani penggambaran di Terengganu , sekali gus mempelawa pemilik akaun media sosial yang dipercayai tinggal di negeri itu menemuinya bagi mendapatkan penjelasan.
‘Assalamualaikum sis (panggilan kepada pemilik akaun). Esok (Khamis) saya akan ke Terengganu ada ‘shooting’ dekat sana.
“Alang-alang jom kita jumpa nak? Nak dengar juga cerita saya yang awak lagi tahu,” katanya dalam nada menyindir menerusi hantaran dalam InstaStory, malam tadi.
Dalam perkongsian sama, pemilik nama Nurul Shakilla Mohd Khoriri, 34, itu juga mahu mereka bertentang mata supaya dapat perincian lelaki yang didakwa menjalin hubungan dengannya.
“Nak tahu juga suami orang mana yang saya dah ‘main’ tu sebab mak, abah, adik, (dan) kakak saya pun tengah tanya,” ujarnya dengan tegas.
Enggan memberi muka, bekas isteri kepada penyampai radio, Fizi Ali itu turut memberi kata dua kepada wanita terbabit.
“Awak nak hubungi saya kita jumpa sembang atau saya suruh orang cari awak. Pilih la. Jumpa awak esok malam,” katanya.
Begitupun, individu berkenaan sudah meminta maaf seperti hantaran video dikongsikan Shakilla dalam Instagramnya awal pagi tadi yang turut memaparkan mesej antara mereka.
Aktes itu turut mengingatkan mana-mana pihak agar berhati-hati ketika menulis terutama membabitkan kenyataan yang boleh mencalarkan maruah orang lain.
“Minta maaf, saya terpaksa buat begini lagi (dedahkan). Tolonglah berhati-hati ketika menulis, nak mengumpat, kutuk ke terpulanglah asalkan di belakang orang itu. Itu dosa kalian.
“Jangan sampai menulis dan jatuh fitnah terhadap seseorang. Saya tengok dia ada suami, ada anak. Saya sedih kenapa buat macam ini,” luahnya.
Sebelum ini kecoh dalam laman sosial selepas tular foto aksi mesra mesra Shakillla bersama seorang lelaki yang didakwa telah berumah tangga dan mempunyai anak.
Namun, Shakilla menegaskan itu adalah gambar lama yang disebarkan pihak tertentu ketika lelaki terbabit sudah pun bercerai dengan isterinya.
Rumah tangganya dengan Fizi pada 18 Februari 2018 berakhir selepas tiga tahun bersama dan dikurniakan seorang puteri, Ameena Sofia, 4. – HIBGLAM