PADA usia seawal empat tahun, selebriti muda ini berjaya mencipta rekod sendiri apabila menjadi selebriti media sosial paling muda negara yang berjaya menempatkan diri dalam senarai 10 YouTuber paling berjaya di Malaysia.
Memiliki bakat dalam bidang nyanyian, dan bermain alat muzik ukulele menjadi kelebihan buat pemilik nama pentas Alyssa Dezek untuk mengembangkan bakat seninya dalam dunia hiburan.
Tanpa menoleh ke belakang, Alyssa yang juga pelakon terus melebarkan sayap sehingga berjaya mengumpul sejumlah 4.63 juta pengikut dalam saluran YouTube miliknya.
Lebih membanggakan apabila ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, saluran YouTube Alyssa menerima jumlah langganan paling tinggi, sekali gus menjadi satu-satunya selebriti dari Malaysia yang tersenarai dalam carta top 10 YouTuber dengan menduduki tangga kesembilan.
Walaupun berjaya meraih populariti dan kekayaan pada usia muda, Alyssa atau nama lengkapnya Aryanna Alyssa Dezek tidak sesekali akan melupakan pelajaran dan masih terus ke sekolah, walaupun mengakui sukar untuk membahagikan masa.
“Saya kini berusia 15 tahun. Walaupun tidak perlu lagi menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) selepas dimansuhkan, saya tetap ambil serius dengan peperiksaan akhir tahun.
“Walaupun saya akui sukar sebenarnya untuk membahagikan masa antara kerjaya seni dengan pelajaran, saya perlu bijak untuk menguruskan masa, supaya tidak ketinggalan dalam kedua-dua bidang,” kata pemenang anugerah BBNU Meletop di Anugerah MeleTOP Era 2021 itu.
Kata Alyssa, belajar di sekolah swasta tidak memberi apa-apa kelebihan buat dirinya atau sebarang layanan istimewa hanya kerana berstatus seorang artis.
“Saya belajar di sekolah swasta. Di sekolah, saya tidak dilayan seperti artis. Ketika mula-mula masuk (sekolah), saya beranggapan mungkin akan dilayan sedikit berbeza.
“Saya membayangkan tidak ada seorang pun yang mahu berkawan dengan saya. Tapi tidak sangka, kawan-kawan semuanya baik dan menerima saya.
“Kalau saya terlepas satu-satu subjek, rakan-rakan akan membantu saya untuk mengulang kaji pelajaran,” ujarnya.
Bagaimanapun Alyssa berkata, dia tidak terlepas daripada ‘dibebel’ oleh guru gara-gara kerap tidak hadir ke sekolah, kerana sibuk dengan jadual sebagai artis.
“Kadang-kadang saya pun kena bebel juga dengan cikgu sebab selalu tidak hadir ke sekolah. Pernah suatu ketika, saya tidak hadir ke sekolah selama dua bulan kerana menjalani penggambaran sebuah drama.
“Jadi cikgu membebel. Namun akhirnya mereka faham situasi saya,” katanya.
Dalam perkembangan terkini, Alyssa gembira apabila akhirnya dapat melancarkan single keempatnya yang berjudul Faham Tak, selepas ‘diperam’ selama dua tahun.
Kata Alyssa, lagu Faham Tak hasil ciptaan Acap Salim, Faizal Tahir, Glow Rush, Mike Chan dan Nick Ariff, manakala muzik video (MV) dihasilkan produksi milik penyanyi, Asad Motawh iaitu Motawh Production.
“Single Faham Tak sudah siap dirakam sejak dua tahun lalu. Selepas selesai menjalani rakaman kali pertama, beberapa rangkap lirik terpaksa diubah supaya lebih sesuai dengan selera pendengar.
“Selepas selesai menjalani rakaman kali kedua, pandemik Covid-19 pula melanda seluruh dunia. Jadi sekali lagi pelancaran Faham Tak terpaksa ditangguhkan sebelum akhirnya single ini dapat diperdengarkan kepada peminat pada tahun ini,” kata Alyssa.
Tambah Alyssa, Faham Tak menceritakan tentang kehidupan seorang remaja yang kian membesar, namun masih banyak perkara yang perlu dipelajarinya.
“Lagu ini juga mengingatkan saya supaya tidak lupa pada insan-insan yang selama ini menjadi tulang belakang dalam menyokong perjalanan karier saya terutama ibu bapa, keluarga dan peminat.
“Sasaran pendengar untuk single ini adalah remaja seusia dengan saya. Selain Faham Tak, saya juga bakal terbang ke Jakarta, Indonesia untuk merakamkan sebuah lagu duet bersama penyanyi, Maulana.
“Projek ini dijangka akan berjalan pada penghujung tahun nanti,” katanya menutup kata.