BERCINTA jadi cerita, putus kasih jadi topik berita, betapa hebatnya penangan aktres Sophia Albarakbah.
Kini, kerap pula dia disuakan cerita status hati yang kembali solo selepas tiada lagi cinta dengan mana-mana lelaki.
Menarik nafas panjang, aktres berusia 30 tahun itu dengan pantas menegaskan hatinya ketika ini tidak lagi terbuka buat mana-mana jejaka.
Malah, Aktres Filem Popular Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) itu bertegas mahu fokus terhadap kerjaya tanpa terikat hubungan cinta yang boleh mengganggu emosi serta komitmen kerjaya.
Buat masa ini, pintu hati saya sudah tertutup sepenuhnya untuk sesiapa.
“Banyak perkara peribadi yang tidak boleh saya kongsikan, cuma fokus paling utama adalah 100 peratus kerja dengan tumpuan yang berlipat kali ganda kepada karier bukan teman lelaki,” ujarnya dalam nada serius.
Disoal adakah didekati mana-mana lelaki selepas kembali solo, pelakon asal Kuala Lumpur itu mengakui banyak terima mesej langsung (DM) daripada lelaki yang ingin berkawan rapat.
Jujurnya ada ramai yang mendekati tapi seperti yang saya katakan, saya masih belum bersedia, hati ini sudah dikunci untuk sesiapa.
“Patah hati bukan sesuatu yang menyeronokkan jadi saya tidak mahu melalui fasa itu lagi.
“Perasaan itu tidak mudah, sangat menyakitkan, yang melaluinya saja dapat memahami,” katanya.
Untuk artikel penuh, dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan atau layari www.kosmo.com.my