PENTAS konsert All Stars Gegar Vaganza minggu kelima dibuka dengan persembahan istimewa 13 peserta menerusi dendangan lagu Ku Mohon sebagai solidariti membela nasib saudara sesama Islam di bumi Palestin.
Malah, seluruh tenaga kerja All Stars Gegar Vaganza turut memberi sumbangan bagi membantu meringankan beban ditanggung rakyat Palestin.
“Demi meringankan beban mereka di sana, pihak Astro, kru produksi, juri dan barisan peserta dengan bermurah hati memberikan sumbangan kepada akaun Amanah Kemanusian Rakyat Palestin,” ujar Nabil.
Setelah pengumuman itu, dewan senyap seketika bagi memberi laluan bacaan Al-Fatihah kepada saudara Islam yang telah syahid berikutan kekejaman Zionis.
Setakat ini lebih 4,300 penduduk dengan kebanyakannya orang awam, telah terbunuh akibat pengeboman Rejim Zionis sebagai tindak balas kepada serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Lebih menyedihkan, sekurang-kurangnya 1,661 kanak-kanak terkorban akibat kekejaman Israel sejak pertempuran terkini meletus pada 7 Oktober, menurut kenyataan Defence for Children International – Palestine (DCIP) pada Sabtu. – HIBGLAM