PETALING JAYA – Reda menerima pemergian Allahyarham Bad yang juga rakan seperjuangan dalam kumpulan Indigo, penyanyi Shah cuma terkilan arwah tidak sempat menyaksikan lagu baharu mereka dilancarkan.
Katanya, single berjudul Izinkan Aku yang dirakamkan sejak awal tahun ini menjadi lambang reunion kumpulan terbabit selepas kali terakhir tampil dengan album Episod 3 sekitar tahun 2000.
“Allahyarham paling teruja dari awal mengenai perancangan projek ini apabila kawan lama kami ketika zaman KRU dulu usulkan kami rakam lagu baharu.
“Kerja rakaman dilakukan berasingan kerana Zam tinggal di Johor, jadi banyak perbincangan secara Zoom sehinggalah akhirnya proses ‘mastering’ selesai beberapa minggu lalu.
“Sepatutnya selepas ini pembikinan muzik video pula menyusul, tetapi arwah pergi dulu. Kami reda, tetapi agak sayu kerana Allahyarham tak sempat tengok single ini dilancarkan,” katanya ketika dihubungi Hibglam.
Bad atau Badrul Izhan Yeop Abdullah disahkan meninggal dunia sekitar pukul 7 malam semalam selepas mengalami sesak nafas di tempat kerjanya di Reiber Auto di Bukit Permai, Ampang, Selangor.
Pada masa sama, Shah yang juga suami kepada penyanyi Liza Hanim itu memaklumkan mereka kerap berhubung walaupun lama tidak berjumpa.
Dia yang mengikuti perkongsian video Bad dalam Instagram tiga hari lalu nampak sahabatnya itu sihat serta bersemangat sepanjang bercakap mengenai aura positif kehidupan sekali gus terkejut dengan berita pemergiannya.
Akui pemilik nama lengkap Mohamed Shahrin Mohamed Samsudin, 49, sahabat yang berjuang dengannya dalam grup Indigo sejak 1996 itu nampak sihat ketika membuat ulasan kenderaan di TikTok semalam.
“Saya terkejut sebab baru tengok video Bad di TikTok (semalam) dan beberapa jam kemudian dapat pula berita dia pergi secara tiba-tiba.
“Macam tak percaya, tetapi Allah lebih sayangkan Allahyarham. Doakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” ujarnya.
Jenazah Allahyarham kini di Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya, manakala pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara selepas solat Jumaat. – HIBGLAM