PETALING JAYA – Seperti drama berpisod, pelakon yang juga isteri Aliff Aziz iaitu Bella Astillah membidas kenyataan aktres Sophia Albarakbah yang didakwa menipu mengenai kehadirannya ke konsert minggu ketiga All Stars Gegar Vaganza (GV10) pada Ahad lalu.
Menurut pemilik nama penuh Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 29, nama Sophia yang hadir bagi menemani sepupunya yang juga penyanyi, Aisha Retno juga tiada dalam senarai tetamu jemputan pada hari konsert tersebut.
“Ya Allah SWT, masih nak menipu dia masih berada dalam dewan selepas Liza Hanim (buat persembahan).
“Seriuslah dia ini. Sudahlah nama tiada dalam senarai tetamu kemudian selepas Aliff habis menyanyi, dia terus bergerak balik,” katanya dalam InstaStory hari ini.
Menerusi hantaran sama, pelakon drama Aku Tanpa Cintamu itu juga turut menuduh Sophia sebagai individu yang kerap menipu.
“Sudahlah duduk di depan wartawan.
“Kemudian hendak menipu lagi tetapi tidak hairanlah dia ini sudah biasa menipu dan putar belit,” jelasnya.
Hari ini, Sophia menafikan kehadirannya ke konsert minggu ketiga GV10 pada Ahad lalu adalah untuk memberikan sokongan kepada Aliff.
Menurutnya, kehadirannya pada malam tersebut adalah bagi menemani sepupunya iaitu penyanyi Aisha Retno yang membuat persembahan menerusi segmen GV Live +.
Terdahulu, kehadiran Sophia mencuri perhatian ramai kerana didakwa hadir bagi menonton Aliff yang pernah terkait dengan kontroversi cinta lokasi.
Bagaimanapun, Aliff enggan memberi komen atas kehadiran Sophia kerana bimbang akan timbul spekulasi yang tidak sepatutnya.
Aliff yang mengakui menyedari kelibat Sophia juga berpendapat setiap individu bebas untuk hadir menyaksikan konsert tersebut yang dianggap sebagai acara terbuka
Terdahulu, nama Sophia meledak selepas Bella mendakwa dia menjadi orang ketiga dalam rumah tangganya dengan Aliff sekitar Januari lalu.
Bella turut memuat naik tangkap layar memaparkan aktres itu memohon maaf dan ingin memperbetulkan keadaan berkaitan dakwaan mengganggu rumah tangga pasangan itu.
Aliff dan Bella yang mendirikan rumah tangga pada 2016, kini bahagia bersama sepasang cahaya mata, Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
Manakala, Sophia pada bulan lalu juga dilaporkan mengakui sudah putus cinta dengan jejaka yang dikenali sebagai Mr. Doctor. – HIBGLAM