Penyingkiran ini sudah saya jangka – Ayai

MENGAKUI hilang fokus setelah monitor telinga (ear monitor) tertanggal beberapa kali, penyanyi Ayai Illusi sudah menjangkakan dirinya bakal tersingkir.

Bagaimanapun, Ayai atau sebenarnya Zaharuddin Kamaruddin itu tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya terhadap masalah teknikal sebaliknya berlapang dada dengan keputusan juri.

“Selepas selesai membuat persembahan, saya sudah jangkakan yang saya akan tersingkir.

“Ditambah pula dengan komen juri, Tok Ram (Datuk Ramli MS) bahawa tiada pengampunan berkaitan peralatan itu, saya sudah reda.

“Tapi, betul memang ear monitor asyik tertanggal, saya tak salahkan teknikal tetapi memang benda itu longgar, nak buat macam mana,” ujarnya kepada HibGlam.

Pada masa sama, penyanyi berusia 61 tahun itu berkata, keadaan dirinya yang terlalu penat juga antara faktor persembahannya tidak sempurna.

“Tok Ram ada cakap persembahan saya nampak penat. Memang betul, saya memang letih sangat memandu ulang-alik dari Johor ke Kuala Lumpur.

“Suara pun sudah hampir tiada sebenarnya tetapi saya tetap cuba buat sehabis baik,” katanya.

Tiada rasa kesal mahupun ragu-ragu, Ayai yakin dirinya sudah diadili sebaiknya.

“Saya terima penyingkiran seadanya sebab saya diadili juri yang bukan calang-calang, jadi apa markah diberi kepada saya, saya terima,” tuturnya.

Tampil menyanyikan lagu Pusara Di Lebuhraya, persembahan Ayai tidak mampu meyakinkan juri, sekali gus menduduki tangga terbawah dengan markah 53.00 peratus dan tersingkir.

Konsert minggu kelima GV10 menyaksikan Liza Hanim menduduki tempat pertama apabila berjaya meraih markah sebanyak 70.50 peratus sekali gus menjadi pemenang Bintang Powercat.

Tempat kedua pula menjadi milik Naqiu dengan markah 69.75 paratus  diikut rapat Jaclyn Victor yang berada di tempat ketiga (69 peratus).

Rancangan popular itu menyaksikan kesemua bintang diadili tiga juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat. — HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok