KREDIBILITI Adira dan Khai Bahar tidak perlu diperkenalkan. Mereka antara penghibur berkaliber milik industri muzik Malaysia.
Adira dan Khai Bahar, masing-masing mempunyai pesona dan kelebihan tersendiri. Sejak membabitkan diri dalam dunia hiburan, dua figura itu berjaya mencorak kanvas seni mereka dengan tersendiri.
Malah, aura bintang kedua-duanya sudah terlihat bersinar sejak awal pembabitan mereka dalam industri muzik tanah air.
Baik Khai Bahar mahupun Adira Suhaimi, keberadaan mereka dalam industri bukan sekadar suka-suka.
Masing-masing sudah membuktikan kemampuan diri sehingga terus ampuh mempertahankan kedudukan dalam industri.
Tidak berlebihan jika dikatakan kedua-dua penyanyi itu menjadi antara penghibur yang relevan sehingga ke hari ini.
Portfolio Khai misalnya penuh warna-warni. Jejaka dengan nama lengkap Muhammad Khairul Baharuddin itu pernah bergandingan dengan beberapa penyanyi wanita terkenal, antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Siti Nordiana, Aina Abdul dan Fatin Husna.
Begitu juga dengan Adira yang cukup dikenali sebagai ‘Ratu OST’. Gandingannya bersama penyanyi Hafiz Suip menerusi beberapa buah lagu bermula dengan Ombak Rindu, melonjakkan lagi namanya untuk terus melangkah dalam bidang nyanyian.
Terbaharu, Khai dan Adira bergabung suara apabila muncul dengan sebuah single berjudul Pejam sekali gus bakal menyaksikan kemantapan gandungan duo yang pastinya berkesan.
Pejam hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer Audi Mok dan Shazee terbitan Nova Music.
Menurut Khai yang juga pemenang kategori Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular ke-35, lagu tersebut sudah disiapkan sejak dua tahun lalu.
“Sebenarnya, lagu ini sudah siap lama, tapi disebabkan beberapa perkara yang perlu diselesaikan dulu jadi pelancarannya tertangguh.
“Alhamdulillah, selepas dua tahun, lagu ini dapat diperdengarkan kepada umum.
“Bagi peminat yang pernah menghadiri persembahan Konsert Nafas Cinta Khai Bahar pada Februari 2022 di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ Pac), saya ada menyanyikan lagu Pejam ini bersama Adira.
“Selepas itu, memang ramai yang bertanya dan menunggu bila lagu ini akan dilancarkan. Namun, kami percaya pada perancangan syarikat rakaman apabila tampil dahulu dengan lagu solo masing-masing,” kata Khai yang sudah lama berhasrat untuk tampil duet bersama Adira.
“Sejujurnya, saya sangat gembira dan teruja kerana dapat berduet dengan seorang lagi penyanyi wanita hebat dan berbakat,” katanya yang turut menyifatkan Adira sebagai penyanyi cukup profesional.
Sementara itu, Adira turut meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang berduet dengan Khai sekali gus memenuhi impiannya.
“Saya kenal Khai dengan lagu-lagunya yang tular. Malah, dia juga antara penyanyi yang cukup popular selain memiliki kualiti vokal yang bagus.
“Bekerjasama dengan Khai cukup mudah dan kami serasi menyanyi bersama-sama. Mungkin disebabkan pengalaman yang kami ada sebelum ini menerusi lagu duet lai, menjadikan proses rakaman lagu Pejam lebih mudah,” katanya.
Dalam masa sama, Adira berharap lagu Pejam mendapat tempat di hati peminat, sekali gus meraih kejayaan tersendiri.
“Sebagai penyanyi, saya berharap setiap karya yang dihasilkan berjaya. Begitu juga dengan lagu duet ini. Saya mahu peminat puas dan gembira.
“Saya yakin lagu Pejam mampu menjadi karya yang cukup indah untuk didengar dan dihayati. Paling penting, saya tidak sabar mendengar maklum balas daripada peminat,” katanya. – HIBGLAM