JENAMA Lantai T. Pinkie yang merupakan karya hebat milik Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said sememangnya sudah cukup gah dalam dunia
Selepas lima edisi, teater muzikal Lantai T. Pinkie kembali dipentaskan buat kali keenam di Balai Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 6 hingga 8 Oktober lalu.
Berbeza kali ini, pengarah mempertaruhkan barisan wajah baharu bagi memegang watak utamanya Pinkie dan Muhairi (muda) iaitu Zera Hariz dan Faysal Saad.
Menilai kualiti persembahan diberikan Zera pada malam pertama, ternyata pelakon itu berjaya melunaskan tanggungjawab yang pernah digalas oleh beberapa pelakon ternama lain seperti Nasha Aziz dan Puan Seri Tiara Jacquelina.
Tidaklah terlalu mencapai tahap tertinggi tetapi sebagai pendatang baharu, Zera membuktikan kemampuannya menggalas watak besar tersebut.
Anggun dengan persalinan serba merah jambu, Zera pada awalnya dilihat masih gugup apatah lagi berdiri sepentas dengan pelakon hebat.
Situasi tersebut jelas terpancar menerusi lakonan Zera sepanjang segmen pertama apabila wataknya tenggelam timbul dek kerana kehebatan pelakon lain.
Tidak berlama-lama membiarkan penonton kebosanan dengan lakonan mendatarnya, Zera berjaya membuatkan Pinkie menyerlah menerusi segmen kedua.
Antara babak Pinkie yang paling diingati penulis adalah ketika ‘berlawan’ emosi dan fizikal untuk melarikan diri daripada suaminya.
Penderitaan dan rintihannya sebagai Pinkie yang terseksa mental dapat dirasai penonton.
Selain itu, keserasian dengan Faysal juga berjaya dicipta sehingga ada penonton yang tersenyum sipu menonton babak romantis mereka.
Barangkali, tidak adil sekiranya hendak membandingkan Zera dengan pelakon lain yang pernah memegang watak Pinkie, namun sekurang-kurangnya dia berjaya melunaskan tugasannya dengan baik.
Mungkin dia perlu memperbaiki cara menjiwai watak dengan lebih baik untuk menakluk fokus dan emosi penonton pada masa akan datang.
Beralih kepada watak Nyai Sunarti yang menjadi tumpuan utama pada malam tersebut.
Tidak keterlaluan sekiranya penulis berpendapat, adakalanya terfikir sama ada ini adalah pementasan Lantai T. Pinkie atau Lantai Nyai Sunarti?
Begitu hebatnya lakonan yang diberikan Nabila Huda pada malam tersebut.
Tolak ke tepi perbandingan dengan pelakon lain yang pernah memegang watak itu, ramai penonton yang hadir mengakui seperti disihir dengan watak Nyai Sunarti, si penari kelab malam Bunga Joget Moden di Singapura.
Menyingkap semula pementasan yang berlangsung selama tiga hari itu, apa yang penulis dapat rangkumkan ialah kekurangan bajet.
Meskipun begitu, kualiti yang diberikan setiap barisan pelakon terlibat memang ‘top notch’!
Sarat dengan pelbagai mesej dan ditambah dengan babak menyentuh hati, membuatkan teater terbitan Persatuan
Teater Malaysia (PTM) dan CTRA Production dengan kerjasama DBP dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) itu wajar diberikan penarafan lima bintang. – HIBGLAM