AKTRES Nad Zainal atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin selamat melahirkan cahaya mata lelaki pada Selasa lalu.
Perkara tersebut dimaklumkan aktres itu sendiri menerusi perkongsian dalam Instagram yang hanya menyebut tarikh kelahiran.
“10/10/2023. Terima kasih atas doa-doa kalian, Alhamdulillah,” tulisnya ringkas sebagai kapsyen.
Pelakon drama Bukan Bidadari itu juga sempat berkongsi pengalaman menggunakan servis berpantang yang bertanggungjawab menguruskan dirinya dan bayi ketiganya itu.
Khabar gembira itu turut dikongsi Ungku Ismail menerusi Instagram miliknya dengan memaklumkan keterujaannya dikurniakan anak lelaki.
“Cinta tidak semestinya berwarna merah. Selalunya datang dalam rona berwarna putih.
“Selamat datang anak lelakiku ke dunia yang pastinya menjadi medan perjuangan namun perlu teguh berdiri dalam perspektif dan perancangan Tuhan, nescaya akan mengurniakanmu kebahagiaan.
“Ahmdullillah, Subhaanak Robbul Arsyil ‘Adzeem dan terima kasih sayangku Nad Zainal,” tulisnya sebagai tanda menghargai pengorbanan isteri.
Menjengah dalam ruangan komen, netizen dan rakan artis mengucapkan tanniah kepada aktres berusia 33 tahun itu.
“Tahniah Nad, tahu-tahu sahaja sudah beranak, walaupun tak tunjuk muka, kita boleh tahu anak awak comel macam awak,” kata seorang peminat.
“Bila beranak! Tahniah nanad,” kata pelakon Fatin Afeefa.
“Aku ingat kau dah dapat teka,” balas Nad.
Nad sebelum ini pernah pernah berkahwin dengan Faliq Amiruddin, namun bercerai pada 3 September 2022 selepas tujuh tahun hidup bersama.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom, setahun.
Pada 23 Januari lalu Nad mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama aktor Ungku Ismail. – HIBGLAM