KALAU ada satu perihal yang ingin disarankan buat peminat filem bernuansa thriller, penulis tidak akan teragak-agak untuk memberi rekomendasi buat kalian meletakkan tanda koma sedikit masa harian menonton naskhah terbaharu Netflix berjudul Nowhere.
Datang dari Sepanyol dengan lakonan mantap Anna Castillo sebagai Mia, Nowhere memberi tunjuk ajar buat pembikin filem bertemakan survival thriller bagaimana melahirkan karya sedemikian, sekiranya ingin berada pada posisi antara filem kegemaran dunia.
Pujian harus diberikan kepada pelakon utamanya Anna yang memainkan peranan sebagai Mia dengan cukup cemerlang. Kalau kena tuah, tidak mustahil aktres itu tercalon untuk anugerah acara besar.
Mengapa? Kerana persembahannya dalam Nowhere selayak bertaraf Oskar!.
Setakat ulasan ini didokumentaasikan, Nowhere menjadi antara pilihan global dengan berada di kedudukan nombor satu.
Biarpun dipisahkan dengan perbezaan bahasa, Nowhere membuktikan itu bukan menjadi satu masalah buat penduduk dunia menikmati filem yang menderaskan adrenalin dan membuatkan audiens tidak senang duduk dengan rencam emosi, lontaran dialog dan babak ‘ngeri’ dipaparkan.
Mungkin kurang bersesuaian dengan kumpulan audiens kanak-kanak, namun satu fakta yang tidak boleh dinafikan,
Nowhere membuatkan paras oksigen ketika menghabiskan tontonan berombak-ombak. Itu energi yang terhasil sepanjang ‘pengembaraan’ selama sejam 49 minit filem berkenaan.
Secara peribadinya, Nowhere satu percubaan baik daripada rumah produksi Rock & Ruz. Seperti apa dijanjikan menerusi ‘kekacauan’ poster, seperti itulah apa yang terhasil daripada keseluruhan filem.
Nowhere membuatkan audiens sentiasa bersyukur dengan keberuntungan lahir di negara aman damai seperti Malaysia. Itu barangkali satu nilai yang terbit usai menghabiskan tontonan.
Seperkara lagi, filem berkenaan membuatkan sesiapa yang berasakan hidup mereka paling sukar, kembali muhasabah diri.
Ada manusia di negara bergolak terpaksa bergadai nyawa sendiri dan orang tersayang demi menikmati sekelumit rasa keamanan.
Sedikit peringatan, bimbingan orang tua atau ibu bapa adalah sangat perlu sebelum memulakan tontonan karya turut dibintangi aktor bernama Tamar Novas yang memainkan peranan sebagai Nico.
Bersalin sendirian
Ada adegan yang kurang sesuai orang tontonan orang Timur khususnya kita yang tinggal di Malaysia.
Kendatipun sekali lagi, filem seperti ini umpamanya ‘mencubit’ realiti mendalam buat golongan wanita atau sebilangan pihak yang mengeluh bersalin di hospital kerajaan.
Jauh dari jangkauan, ada insan seperti Mia yang terpaksa melahirkan anaknya bersendirian.
Hanya bertemankan sebuah kontena di tengah lautan dengan perkakas lain yang tiada kepentingan kalau diikutkan pemikiran waras namun Mia melawan segala ‘kedaifan’ dengan daya survival luar sifat manusiawi.
Itu sedikit sebanyak tentang Nowhere yang membuatkan audiens hilang punca atau rasa untuk bernafas. Deras adrenalin yang tercetus disebabkan karya arahan Albert Pintó memang menggila luar biasanya.
Sungguhpun begitu, tidak filem memberikan kepuasan 100 peratus buat penonton.
Nowhere juga tidak terkecuali. Ada yang merasakan klimaks yang dihasilkan kurang memberi impak. Ada yang berfikiran sebaliknya.
Apa yang pasti Nowhere akan membuatkan tidur malam kalian kurang lena dan ketika tontonan berlaku, banyak rasa empati yang tercerna berhubung betapa beruntungnya kita berpijak di negeri berdaulat dan bertuah bernama Malaysia ini. – HIBGLAM